PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan Garis Panduan mengenal Platform Bursa Sosial (Garis Panduan) bertujuan membuka laluan kepada penubuhan bursa sosial pertama Malaysia untuk memudahkan pengumpulan dana bagi projek impak sosial.
Bursa sosial tersebut akan menyediakan saluran pengumpulan dana yang telus untuk pertubuhan bukan untung (NPO) untuk mengumpul dana bagi projek impak sosial yang layak, sejajar dengan agenda kemampanan dan keterangkuman Malaysia.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, bursa itu akan meluaskan peranan pasaran modal untuk menyokong pengumpulan dana bagi sektor ketiga Malaysia serta membina kepercayaan dalam pengumpulan dana oleh NPO.
“Selaras dengan keutamaan Rancangan Malaysia Ke-13, Bursa Sosial memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam mengumpul dana ke arah projek yang berimpak sosial.
“Ini akan mengukuhkan kepercayaan orang ramai dan menggembleng lebih banyak sumber ke arah impak sosial yang bermakna,” katanya dalam kenyataan.
Garis Panduan yang dikeluarkan hari ini menetapkan keperluan untuk pengendali platform Bursa Sosial dan NPO, termasuk kelayakan, pendedahan dan pelaporan mandatori untuk beri jaminan kepada penderma tentang cara dana digunakan dan hasil dicapai.
Permohonan untuk mengendalikan bursa sosial dibuka hari ini, 19 September 2025.
Sehubungan itu, NPO yang berminat boleh menyemak Garis Panduan untuk memahami dan bersedia untuk penyertaan.-UTUSAN