PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meneruskan usaha memperkasa usahawan tani melalui acara kohort kedua GROWMatch 2025, yang menghimpunkan 50 usahawan dari sektor pertanian dan bioindustri untuk meneroka peluang pembiayaan alternatif melalui pasaran modal.
Program GROWMatch yang dilancarkan pada Ogos 2024, direka untuk membuka akses kepada pembiayaan bagi usahawan dalam rantaian nilai pertanian, termasuk sektor teknologi makanan, agroteknologi, bioteknologi dan sektor berasaskan bio.
Usahawan diberi peluang membentangkan projek mereka kepada pelbagai penyedia modal seperti platform pembiayaan ekuiti ramai (ECF), pembiayaan antara rakan setara (P2P) serta firma modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian (PE).
Sehingga akhir Jun 2025, lebih RM10 bilion telah dikumpul menerusi ECF dan P2P, memanfaatkan lebih 23,000 perniagaan sejak platform ini diwujudkan.
Kejayaan terdahulu seperti Entomal Biotech, yang memperoleh pelaburan daripada Dana Impak Kelestarian AgriFoodTech Sarawak dan Pacton Technologies yang kini bekerjasama dengan lebih 50 ladang, membuktikan nilai jangka panjang GROWMatch dalam membina jaringan perniagaan dan memperkukuh ekosistem industri.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, GROWMatch berperanan merapatkan jurang pembiayaan untuk segmen yang kurang mendapat perkhidmatan.
“GROWMatch memberi keutamaan kepada pencapaian impak. Kami mahu usahawan tani ini mempunyai peluang yang adil untuk mengakses pembiayaan alternatif yang relevan dengan keperluan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada rakan strategik program termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), dan Invest Sabah Berhad yang membantu memperluaskan jangkauan program ke seluruh negara.
Tahun ini, GROWMatch menerima lebih 70 permohonan dan meningkatkan jumlah finalis kepada 50 syarikat, berbanding 20 pada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu sebanyak 54 peratus memfokuskan kepada penyelesaian pertanian berdaya tahan iklim, 34 peratus pada isu kemerosotan tanah dan 12 peratus pada pemakanan lestari dan kesihatan ternakan.
Bertemakan ‘Menangani cabaran industri untuk memperkukuh keterjaminan makanan Malaysia dengan pembiayaan alternatif’, inisiatif ini disokong selari dengan matlamat negara untuk menjamin keterjaminan makanan dan memacu pertumbuhan ekonomi hijau.
GROWMatch 2025 juga berkembang daripada hanya program pitching kepada inisiatif komprehensif yang merangkumi bengkel pembangunan kapasiti dan sesi kesedaran pembiayaan alternatif sekali gus menjadikan peserta lebih bersedia untuk menerima pelaburan.
Bagi senarai penuh 50 syarikat terpilih dan maklumat lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari laman rasmi GROWMatch di SCxSC – Pitch & Match. – UTUSAN










