PETALING JAYA: Saham Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) melonjak hari ini susulan pengumuman pengambilalihan 80 peratus kepentingan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam Bukit Jalil Sentral Property Sdn. Bhd. (BJSP).
Sehingga 12.11 tengah hari tadi, saham MRCB naik 6.38 peratus kepada 50 sen sesaham.
Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, MRCB berkata, urus niaga tersebut melibatkan cadangan pembelian sebanyak RM1.58 bilion dalam bentuk tunai.
Katanya, syarikat akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan alam sekitar sebelum memulakan sebarang pembangunan berpotensi, termasuk pusat data di atas tanah berkaitan.
Pembelian aset kira-kira 1.13 bilion saham itu dilakukan menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Rukun Juang Sdn Bhd daripada Tanjung Wibawa Sdn. Bhd.
Menurutnya, Rukun Juang merupakan syarikat milik penuh MRCB Land Sdn. Bhd manakala Tanjung Wibawa ialah anak syarikat milik penuh Lembaga KWSP. – UTUSAN