RMK13 sasar sejuta rumah mampu milik

RMK13 sasar sejuta rumah mampu milik, pacu semula pasaran hartanah

KENNETH SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) meletakkan perumahan mampu milik sebagai tonggak utama dengan sasaran pembinaan sejuta unit menjelang 2035, sekali gus dilihat sebagai pemangkin baharu dalam merangsang pasaran hartanah yang berdepan kelembapan.

Pengurus Negara untuk Malaysia, PropertyGuru dan iProperty, Kenneth Soh berkata, inisiatif itu diperkukuh melalui peluasan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), program Skim Sewa-Untuk-Beli serta penubuhan sebuah agensi perumahan nasional berpusat bagi menyelaras penawaran rumah mampu milik di seluruh negara.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja meningkatkan akses pemilikan rumah bagi golongan B40 dan M40, malah merombak ekosistem perumahan negara agar lebih cekap, adil dan berdaya tahan.

“Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan pasaran hartanah Malaysia merosot pada suku pertama 2025 apabila nilai transaksi jatuh 8.9 peratus tahun ke tahun kepada RM51.42 bilion, manakala jumlah transaksi susut 6.2 peratus.

“Dalam masa sama, Bank Negara Malaysia (BNM) turut menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 kepada 4.0 hingga 4.8 peratus, mencerminkan tahap ketidakpastian ekonomi.

“Bagaimanapun, permintaan terhadap rumah mampu milik kekal kukuh dengan harga di bawah RM300,000 menjadi penanda aras kemampuan isi rumah B40.

“Selain itu, data PropertyGuru menunjukkan pertanyaan terhadap rumah dalam kategori ini menurun 11.8 peratus antara Disember 2024 hingga April 2025 akibat ketidaktentuan ekonomi. 

“Namun begitu, ia meningkat semula sebanyak 29 peratus apabila sentimen pasaran stabil susulan pengumuman dasar sokongan kerajaan,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata, tumpuan pengguna terus terarah kepada lokasi berdekatan pusat bandar yang mempunyai akses pekerjaan, pengangkutan dan perkhidmatan asas.

“Negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang kekal mencatatkan permintaan tinggi, dengan lonjakan ketara pertanyaan semula terhadap rumah berharga bawah RM300,000 di ibu negara.

“Bagi segmen berpendapatan rendah, pilihan banyak tertumpu kepada stok rumah sedia ada, skim perumahan awam dan kawasan berhampiran pusat ekonomi,” ujarnya. 

Kenneth Soh berkata, Model Skim Sewa Untuk Beli boleh menjadi laluan praktikal serta mudah diakses bagi pemilikan rumah, khususnya kerana unit rumah mampu milik baharu mengambil masa untuk disiapkan. 

Jelasnya, bagi isi rumah dalam kuartil terendah kumpulan B40, di mana 30 peratus daripada pendapatan median bulanan menterjemah kepada had sewa sekitar RM1,500, permintaan terhadap rumah sewa di bawah tahap ini meningkat dengan stabil. 

“Jika dilaksanakan dengan berkesan di bawah RMK13, Skim Sewa-Untuk-Beli boleh bertindak sebagai jambatan jangka pendek bagi isi rumah yang berdepan cabaran keterjangkauan segera.

“RMK13 juga menekankan pembaharuan struktur penting, antaranya pelaksanaan model bina dahulu jual kemudian secara wajib bagi mengurangkan risiko. 

“Ini bagi risiko projek terbengkalai, pindaan Akta Pemajuan Perumahan untuk melindungi pengguna, dan penubuhan pangkalan data perumahan bersepadu bagi memperkukuh perancangan serta pemantauan. 

“Inisiatif ini adalah langkah yang lama ditunggu-tunggu bagi mengatasi ketidakcekapan dalam pasaran perumahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN