PETALING JAYA: Ringgit mencatatkan pengukuhan sebanyak 5.8 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat tahun ini, sekali gus muncul sebagai antara mata wang paling kukuh di rantau ASEAN.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pencapaian itu didorong oleh asas ekonomi negara yang lebih stabil hasil pelaksanaan reformasi struktur, pengurusan fiskal berdisiplin serta rasionalisasi subsidi.
“Kadar pengangguran juga kekal kukuh, dengan kadar pengangguran berkurangan kepada tiga peratus daripada 3.3 peratus pada Mei 2024, iaitu yang terendah dalam tempoh sedekad.
“Konsolidasi fiskal berjalan dengan mantap. Kita berada di landasan yang betul dengan mengecilkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus tahun ini, sambil terus mengurangkan beban hutang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucaptama Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU di Hyatt Regency di sini hari ini.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, Belanjawan 2026 yang belanjawan ketiga di bawah kerangka Ekonomi Madani dan yang pertama bagi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi termasuk semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur mampan.
Katanya, pendekatan dwi aspirasi Ekonomi Madani, iaitu menaikkan siling pertumbuhan ekonomi dan menaikkan lantai taraf hidup rakyat adalah strategi seimbang untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai semua lapisan masyarakat.
“Tahun ini sahaja, RM13 bilion telah disalurkan melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), memberi manfaat kepada sembilan juta individu dan isi rumah berpendapatan rendah.
“Ini bukti jelas bahawa kerajaan bukan sahaja fokus kepada pertumbuhan, tetapi juga kepada kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN