BERMULA dengan menjual jamu kunyit untuk kegunaan sendiri selepas melahirkan anaknya, seorang suri rumah kini meraih pendapatan dengan menjual kudapan buat ibu yang sedang berpantang.
Lizawati Raflis, 39, berkata, idea menghasilkan kudapan berpantang timbul selepas sering makan lauk ikan bilis lada hitam masakkan ibunya.
Katanya, dia menjual kudapan berpantang bermula dengan produk pertamanya, pegaga rangup.
“Ada ibu-ibu selepas bersalin yang tidak suka makan sayur, jadi saya olah daun pegaga menjadi rangup. Selepas mendapat sambutan baik, saya tambah produk lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Juasseh Sentosa, Kuala Pilah di sini.
Kini, Lizawati menghasilkan enam jenis kudapan pantang iaitu peria goreng, pegaga goreng, bawang goreng , bawang putih goreng, serunding halia dan ikan bilis lada hitam.
Menariknya, produk itu turut mendapat sambutan pelanggan pelbagai kaum dan bangsa.
“Bukan ibu berpantang sahaja yang beli, orang biasa pun suka. Pernah sekali ada seorang pelanggan yang memborong sampai 30 balang sekali gus, dia membeli lima balang bagi setiap jenis kudapan yang saya hasilkan,” katanya.
Lizawati berkata, pada mulanya dia hanya berniaga dari rumah sahaja sebelum berpindah ke premis setelah permintaan semakin meningkat.
“Pada awalnya jualan saya hanya sekitar RM1,000 hingga RM 2,000 sebulan namun melonjak selepas saya mula menjual dan mempromosikan di media sosial seperti TikTok sejak dua tahun lalu.
“Sekarang jualan kasar boleh mencecah RM40,000 sebulan. Walaupun selepas ditolak kos-kos lain seperti kos penghantaran, keuntungan bersih masih lebih RM20,000,” katanya.
Kini, dia menjadi pembekal tetap di lima cawangan sebuah jenama butik ibu dan bayi sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, katanya, cabaran utama perniagaan yang diusahakannya adalah untuk memastikan bekalan bahan mentah mencukupi serta menjaga kualiti produk ketika penghantaran agar tidak rosak.
“Produk berasaskan daun mudah hancur jika tidak dikendalikan dengan betul. Jadi pembungkusan sentiasa ditambah baik supaya sampai kepada pelanggan dalam keadaan elok,” katanya.
Katanya, maklum balas pelanggan memainkan peranan penting dalam membantu beliau menambah baik resipi serta mengekalkan kualiti produknya. – UTUSAN










