Purata gaji naik 6.1 peratus kepada RM3,652 sebulan pada 2024 - Utusan Malaysia

Purata gaji naik 6.1 peratus kepada RM3,652 sebulan pada 2024

PURATA gaji di Malaysia meningkat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Purata gaji dan upah meningkat sebanyak 6.1 peratus kepada RM3,652 pada 2024, menandakan pertumbuhan yang stabil dalam pasaran buruh, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah keseluruhan 15.81 juta penduduk bekerja pada 2024, seramai 10.24 juta adalah pekerja bergaji sepenuh masa dalam kalangan warganegara Malaysia termasuk mereka yang bekerja dalam sektor informal.

Menurutnya, bilangan penerima gaji dan upah bagi semua sektor ekonomi menunjukkan trend positif pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.

“Perkembangan ekonomi yang berterusan serta pelaksanaan dasar negara yang berkesan telah menstabilkan pasaran buruh Malaysia, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang kukuh sebanyak 5.1 peratus pada 2024.

“Susulan persekitaran ekonomi yang positif serta kedudukan pasaran buruh yang menggalakkan, penengah gaji dan upah bulanan warganegara Malaysia meningkat kepada RM2,793, naik daripada RM2,602 berbanding 2023 manakala purata gaji dan upah bulanan meningkat kepada RM3,652 berbanding RM3,441 pada tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pencapaian itu membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif pemerkasaan ekonomi telah berjaya meningkatkan kualiti hidup tenaga kerja di Malaysia.

“Sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai pemacu utama ekonomi negara dengan mencatat peningkatan purata gaji bulanan tertinggi iaitu 7.4 peratus kepada RM3,278 bagi pembuatan dan 5.8 peratus kepada RM3,831 bagi perkhidmatan, khususnya dalam subsektor pendidikan, maklumat dan komunikasi serta kesihatan dan kerja sosial.

“Sektor perlombongan dan pengkuarian pula merekodkan purata gaji tertinggi pada paras RM5,904, manakala sektor pembinaan dan pertanian masing-masing mencatat RM3,035 dan RM2,409.

“Pada 2024, purata gaji dan upah pekerja mahir meningkat 6.5 peratus atau RM340 berbanding 7.5 peratus pada 2023, dengan pengurus kekal mencatat gaji tertinggi melalui pertumbuhan 7.2 peratus diikuti profesional sebanyak 6.3 peratus,” ujarnya.

Mohd. Uzir berkata, juruteknik dan profesional menunjukkan 5.8 peratus, manakala gaji pekerja separuh mahir naik 5.2 peratus berbanding 6.0 peratus pada 2023 yang turut disumbang oleh pekerja sokongan perkeranian sebanyak RM2,931.

“Gaji pekerja perkhidmatan dan jualan pula sebanyak RM2,561, pekerja kemahiran dan pertukangan RM2,510 serta operator loji, mesin dan pemasang RM2,404.

“Sementara itu, purata gaji dan upah bulanan bagi kategori berkemahiran rendah naik sebanyak 7.4 peratus kepada RM2,128 berbanding RM1,982 yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

“Pada 2024, lelaki merekodkan purata gaji dan upah bulanan yang lebih tinggi, iaitu RM3,759 berbanding RM3,499 bagi wanita,” katanya.

Tambah beliau, pada masa sama, purata gaji dan upah bulanan bagi kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan berbanding 2023.

“Kawasan bandar merekodkan purata gaji dan upah bulanan sebanyak RM3,796 dan kawasan luar bandar sebanyak RM2,847.

“Purata gaji dan upah bulanan di kawasan bandar mencatatkan pertumbuhan 6.1 peratus berbanding tahun 2023 dengan RM3,580 atau 6.7 peratus, manakala luar bandar meningkat 9.2 peratus berbanding tahun 2023 dengan RM2,608 atau 9.9 peratus,” katanya.

Di peringkat negeri, Wilayah Persekutuan (W.P) Putrajaya merekodkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi iaitu RM5,091.

Empat lagi negeri turut melepasi purata nasional sebanyak RM3,652, iaitu W.P. Kuala Lumpur sebanyak RM4,782, Selangor (RM4,052), W.P. Labuan (RM3,812) dan Pulau Pinang (RM3,787). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN