PMB Investment umum agihan dua dana bernilai RM11.26 juta

PMB Investment umum agihan dua dana bernilai RM11.26 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PMB Investment Berhad mengumumkan agihan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir Ogos 2025 untuk dua dana utamanya, PMB Shariah Premier Fund dan PMB Shariah Equity Fund, dengan jumlah agihan kasar keseluruhan sebanyak RM11.26 juta.

Syarikat pengurusan dana Islam (IFMC) berlesen di bawah Pelaburan MARA Berhad itu berkata, kedua-dua dana mencatatkan agihan sebanyak 2.00 sen seunit, mencerminkan komitmen PMB Investment dalam menyediakan pulangan yang stabil kepada para pelabur.

PMB Shariah Premier Fund mengisytiharkan hasil sebanyak 5.26 peratus dengan agihan kasar berjumlah RM4.85 juta. 

Nilai Aset Bersih (NAB) dana ini diselaraskan daripada RM0.4048 seunit kepada RM0.3848 selepas agihan tarikh ex-date pada 29 Ogos 2025 dan tarikh pelaburan semula pada 2 September 2025.

PMB Shariah Equity Fund pula memberi hasil 3.37 peratus dengan jumlah agihan kasar sebanyak RM6.41 juta. 

NAB dana ini akan diselaraskan daripada RM0.6364 seunit kepada RM0.6164 selepas agihan, pada tarikh ex-date yang sama iaitu 29 Ogos 2025 dan tarikh pelaburan semula pada 2 September 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin berkata, agihan ini mencerminkan pendekatan pelaburan yang berdisiplin dan prestasi dana yang kukuh. 

“PMB Shariah Premier Fund berjaya mencatat pulangan terkumpul tiga tahun sebanyak 37.57 peratus atau purata 12.52 peratus setahun sehingga 31 Ogos 2025, dengan hasil 5.26 peratus. 

“PMB Shariah Equity Fund pula mencapai pulangan terkumpul 62.29 peratus (purata 20.76 peratus setahun) dengan hasil 3.37 peratus. Kami kekal optimis tentang peluang pelaburan patuh syariah dan keupayaan penyelidikan kami untuk menyampaikan nilai berterusan bagi pemegang unit kami,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Pengerusi PMB Investment. Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman berkata, agihan ini menunjukkan pelabur tidak perlu memilih antara pelaburan beretika dan pulangan pelaburan. 

“Dana patuh syariah kami membuktikan anda boleh mengamalkan prinsip Islam sambil membina kekayaan sebenar. 

“Jumlah agihan RM11.26 juta mengambarkan pengurusan portfolio yang kukuh dan pemilihan teliti pelaburan patuh syariah sepanjang tahun kewangan.

“Kedua-dua dana mengekalkan pematuhan ketat kepada asas pelaburan Islam sambil memberikan pulangan yang kompetitif kepada pemegang unit,” katanya. 

Pelabur boleh mula melabur dengan PMB Investment secara mudah melalui EZForm di laman web www.pmbinvestment.com.my dan dana boleh dipindahkan melalui FPX. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN