PETALING JAYA: Peruntukan Belanjawan 2026 dijangka lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya namun dalam kawalan bagi mengekalkan defisit belanjawan dalam lingkungan 3.0 peratus hingga 4.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak, nilai itu selaras dengan prinsip fiskal mampan.
Menurutnya, kerajaan pasti akan terus memacu pertumbuhan ekonomi, menangani kos sara hidup dan melabur dalam agenda digitalisasi serta ekonomi hijau.
“Tumpuan utama Belanjawan 2026 dijangka berpusat pada tiga paksi iaitu menarik pelaburan berkualiti tinggi, mempercepatkan digitalisasi dan automasi merentas sektor dan mencipta pekerjaan berpendapatan lebih tinggi serta berkemahiran.
“Selain itu, penstrukturan semula subsidi bersasar seperti BUDI95 dan penguat ketahanan sosial melalui bantuan tunai tepat sasaran juga dijangka menjadi elemen penting,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Belanjawan 2025 menyaksikan peruntukan bernilai RM421 bilion, menjadikannya belanjawan terbesar dalam sejarah, dengan fokus utama pada pembangunan dan kebajikan rakyat di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
Perbelanjaan ini merangkumi RM335 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM86 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Dalam pada itu, beliau berkata, dalam usaha meningkatkan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap KDNK menjelang 2030, kerajaan perlu menekankan akses kepada pembiayaan mudah, pasaran digital dan kemahiran digital dalam Belanjawan 2026.
“Ini termasuk memperluas geran transformasi digital PKS, memperkukuh platform e-dagang tempatan seperti melalui SME Corp dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), serta menyediakan insentif cukai untuk PKS yang melabur dalam teknologi atau eksport.
“Sokongan kepada koperasi dan usahawan desa juga penting untuk memastikan pertumbuhan inklusif di luar bandar,” ujarnya.
Sementara itu, Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, PKS kini menyumbang lebih 37 peratus kepada KDNK, dengan sasaran kerajaan untuk mencecah 45 peratus menjelang 2030.
Jelasnya, belanjawan 2026 wajar memberi fokus kepada akses pembiayaan dan modal, skim pinjaman mudah dan dana jaminan kredit untuk PKS, khususnya dalam sektor teknologi, pertanian moden dan perkhidmatan bernilai tambah.
“Selain itu, ia perlu merangkumi geran automasi, pendigitalan perniagaan, e-dagang dan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan produktiviti, di samping sokongan promosi perdagangan, pensijilan halal, standard Prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan pemudahcaraan eksport ke pasaran serantau serta antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga boleh mempertingkatkan kapasiti dan latihan melalui program pembangunan bakat usahawan, latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) khusus untuk pekerja PKS, serta insentif kerjasama dengan universiti.
“Dalam pada itu, penyediaan zon perindustrian khusus PKS, kemudahan logistik, serta insentif cukai untuk inovasi dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membantu pertumbuhan usahawan tempatan,” katanya. – UTUSAN