Persaraan mini jadi trend golongan berada di Malaysia - Utusan Malaysia

Persaraan mini jadi trend golongan berada di Malaysia

LEBIH 50 peratus rakyat Malaysia mempertimbangkan untuk persaraan mini bermula usia 46 tahun. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persaraan mini atau cuti rehat panjang semakin menjadi trend dalam kalangan golongan berada di Malaysia dengan lebih separuh berhasrat mengambil tempoh rehat kerjaya secara berkala, menurut tinjauan HSBC Quality of Life: Affluent Investor Snapshot.

HSBC Malaysia berkata, tinjauan turut mendapati mereka ingin melakukannya sebanyak dua atau tiga kali sepanjang hayat dan usia pilihan untuk bermula adalah 46 tahun.

Katanya, Mereka juga ingin menjalankan persaraan mini setiap tujuh tahun sepanjang karier.

Jelasnya, individu berada ditakrif sebagai mereka yang memiliki aset boleh dilaburkan antara AS$100,000 (RM420,800) dan AS$2 juta (RM 8.42 juta).

“Persaraan mini dikenali sebagai rehat daripada kerjaya yang berdurasi beberapa bulan sehingga beberapa tahun untuk mengembara, menghabiskan masa dengan keluarga, mendalami hobi atau memperoleh kemahiran baharu.

“Persaraan sebegini merupakan tempoh rehat yang berbeza daripada sabatikal, kerana lazimnya mengambil masa yang lebih lama (antara enam sehingga 12 bulan) dan boleh membawa kepada perubahan besar seperti kerjaya baharu,” katanya.

HSBC Malaysia berkata, sebanyak 77 peratus daripada individu berada yang ditinjau di Malaysia merasakan persaraan mini meningkatkan mutu kehidupan mereka.

Jelasnya, tiga sebab utama untuk mereka mengambil persaraan mini adalah untuk menghabiskan masa dengan keluarga (40 peratus), menumpukan kesejahteraan peribadi (36 peratus) dan mengembara serta menjelajah tanpa kekangan (29 peratus).

Mengulas tentang dapatan tinjauan, Ketua Negara Kekayaan Antarabangsa dan
Perbankan Premier HSBC Malaysia, Linda Yip berkata, persaraan mini mungkin konsep yang masih baharu di Malaysia, tetapi semakin kerap kelihatan seiring dengan perubahan persepsi terhadap kekayaan.

Katanya, individu berada tidak lagi mengukur kejayaan daripada kekayaan harta yang dikumpul, tetapi daripada peluang meluangkan masa untuk menjalani kehidupan yang mereka inginkan dan menikmati kekayaan yang dimiliki.

“Perkara utama bagi membolehkan persaraan mini, sama ada sekali atau beberapa kali untuk golongan berada adalah perancangan kewangan yang khusus dan ini antara perkhidmatan utama kami di HSBC.

“Pasukan Pengurus Perhubungan dan penasihat kekayaan kami membantu pelanggan Premier menguruskan kekayaan untuk masa hadapan, termasuk solusi kewangan yang direka khas,” jelasnya.

Tambah HSBC Malaysia, dari segi tiga cabaran utama untuk mengambil persaraan mini pula, warga Malaysia berada menyatakan kebimbangan terhadap sekuriti kewangan (42 peratus), tanggungjawab dan obligasi keluarga (33 peratus) dan kerisauan impak negatif terhadap kerjaya (31 peratus).

“Namun, 71 peratus menyatakan bahawa mereka yakin terhadap perancangan kewangan menuju persaraan mini dan simpanan peribadi (55 peratus), dividen, pendapatan daripada faedah dan keuntungan modal lain (52 peratus) dan pendapatan sewa daripada harta tanah (36 peratus) dinyatakan sebagai tiga sumber pendapatan utama.

“Purata perbelanjaan dijangkakan untuk persaraan mini dalam kalangan individu berada di Malaysia adalah AS$309,000(RM1.3 juta), lebih rendah daripada purata global sebanyak AS$339,800, tetapi lebih tinggi berbanding pasaran lain seperti Australia pada AS$299,000 (RM RM1.25 juta) dan Taiwan AS$233,000 (RM981,074). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN