PETALING JAYA: Pasaran domestik dijangka terus menjadi teras utama kepada pertumbuhan ekonomi negara untuk separuh kedua 2025, berikutan pasaran global masih lagi melalui perubahan struktur yang disebabkan perubahan tarif import yang dimulakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pertumbuhan perdagangan global dijangka terus perlahan untuk tempoh yang sama dan diunjurkan berlanjutan ke tahun 2026 dengan lebih mendalam kesannya.
Katanya, perang dagang China dan AS masih berterusan walaupun gencatan tarif ditangguhkan sehingga pertengahan Oktober ini.
“Ketidaktentuan juga memberi kesan kepada eksport negara terutamanya kepada China yang merupakan rakan dagang terbesar Malaysia.
“Sementara itu, perdagangan dengan AS tetapi juga signifikan dan merupakan pasaran penting untuk semikonduktor negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi berkata, walaupun Malaysia berjaya menarik banyak pelaburan asing terutama untuk pembangunan pusat data, jumlah aliran pelaburan langsung asing (FDI) masuk, berbanding jumlah yang diluluskan masih kecil.
“Ini kerana para pelabur masih berhati-hati dengan pergolakan ekonomi dunia yang begitu dipengaruhi oleh pergolakan geopolitik terutamanya dengan apa yang berlaku dengan tindakan Israel di Gaza serta krisis Rusia dan Ukraine,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, risiko kelembapan ekonomi global dilihat kian meningkat terutamanya di AS dengan pasaran buruh mereka telah menunjukkan tanda-tanda kelemahan.
“Justeru, kelembapan ekonomi AS ini dilihat boleh memberi kesan kepada ekonomi global dan Malaysia. Kesan tarif import AS yang tinggi dilihat mendorong prospek ekonomi yang lemah di AS yang boleh mengheret kelembapan ekonomi di peringkat global.
“Memandangkan ekonomi global yang bakal perlahan, maka permintaan domestik dijangka akan menerajui pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi separuh tahun kedua 2025,” jelasnya.
Tambah beliau, antara sektor yang terus memacu pertumbuhan ekonomi negara adalah yang berorientasikan eksport dan berkait rapat dengan teknologi.
“Kalau segi permintaan domestik pula melibatkan sektor yang berkait rapat dengan pembinaan. Pelaksanaan projek infrastruktur yang berterusan ini menjadikan sektor pembinaan lebih aktif dan mempunyai kesaratan dalam rantaian sektor lain seperti sektor pembuatan dan perkhidmatan.
“Selain itu, perkembangan pelancong asing juga dalam trajektori positif. Dalam enam bulan pertama, sebanyak 12 juta kemasukan pelancong asing dicatatkan.
“Ini sudah tentu merancakkan lagi sektor pelancongan dan kesan limpahan pada pada sektor lain seperti makanan dan minuman, penginapan dan perhotelan,” katanya. – UTUSAN










