PEMAJU hartanah, OSK Property melancarkan fasa terbaharu projek pembangunan induknya, BAYU @ OSK Mori Park, di Galeri Jualan Mori Park yang terletak di tengah-tengah Seksyen 13, Shah Alam.
Projek ini merupakan pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang direka untuk menyokong gaya hidup bandar yang mampan dan memperkukuh keterhubungan komuniti.
Terletak hanya 700 meter dari stesen LRT3 Stadium Shah Alam yang bakal siap, BAYU @ OSK Mori Park adalah pembangunan bercampur yang merangkumi apartmen servis, suite fleksi dan lot runcit.
BAYU @ OSK Mori Park dibangunkan di atas tanah seluas 1.4 hektar dalam kawasan pembangunan induk 6.2 hektar, projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2029.
Apartmen servis yang direka dengan teliti ini menawarkan keluasan antara 550 hingga 958 kaki persegi, merangkumi pilihan satu hingga empat bilik tidur, dengan harga permulaan serendah RM250,000.
Beberapa unit turut menampilkan reka bentuk dwi kunci untuk fleksibiliti tambahan.
Sementara itu, 187 unit suite fleksi ditawarkan dengan keluasan antara 539 hingga 732 kaki persegi pada harga bermula daripada RM349,000.
Unit-unit ini direka bentuk untuk kegunaan pelbagai sama ada sebagai ruang pameran, pejabat atau kedua-duanya sesuai untuk profesional moden, usahawan dan pemilik perniagaan kecil.
Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property, Ong Ghee Bin berkata, pelancaran BAYU @ OSK Mori Park menandakan pembangunan TOD kedua di bawah pelan induk Mori Park selepas kejayaan ALIA @OSK Mori Park yang telah mencapai jualan sebanyak 95 peratus.
“Kami amat berbesar hati kerana kini dapat memperkenalkan BAYU @ OSK Mori Park kepada pembeli. Pembangunan ini bukan sahaja menawarkan kediaman dan elemen komersial berkualiti,malah turut menyumbang kepada komuniti tempatan menerusi keterhubungan yang lebih baik dan akses mudah kepada kemudahan penting,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dengan menggabungkan elemen seni bina berinspirasikan alam, reka bentuk BAYU @ OSK Mori Park menampilkan garisan melengkung dan landskap menenangkan yang mewujudkan suasana harmoni serta mengalu-alukan.
Lebih 25 fasiliti eksklusif disediakan di aras lapan dan sembilan, termasuk kolam infiniti sepanjang 50 meter (bersaiz olimpik), gelanggang pickleball, taman permainan sensori, ruang pertanian bandar, gimnasium, zon yoga, surau dan dewan serbaguna, semua ini menekankan aspek kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
Selain kediaman, pembangunan ini turut menawarkan ruang komersial dan runcit untuk disewa, dengan saiz antara 690 hingga 4,210 kaki persegi, menjadikan BAYU @ OSK Mori Park destinasi strategik untuk usahawan dan perniagaan tempatan.
Sebagai projek TOD, BAYU @ OSK Mori Park direka untuk menggalakkan gaya hidup tanpa kereta dengan kemudahan akses yang menyeluruh, termasuk jambatan pejalan kaki khas hanya 700 meter ke Stesen LRT3 Stadium Shah Alam. Sistem Direct Rapid Transit (DRT) disediakan dengan pusat pengambilan penumpang di hadapan pintu masuk, menawarkan sambungan yang fleksibel dan efisien untuk para pengguna, di samping laluan pejalan kaki yang mesra pengguna.
Lokasi strategik ini juga membolehkan penghuni mengakses dengan mudah ke Kuala Lumpur serta kawasan Greater Klang Valley.
Kemudahan sekitar turut menambah nilai projek ini, termasuk pusat perubatan seperti Pusat Perubatan MSU dan Sime Darby Medical Centre, institusi pengajian tinggi seperti MSU, KDU dan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) serta pusat membeli-belah seperti Aeon Mall Shah Alam, SACC Mall dan Giant.
Tambahan pula, 35 unit runcit disediakan dalam tapak, termasuk unit pandu lalu yang dirancang bagi menambah keselesaan komuniti. – UTUSAN










