PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus adalah langkah yang wajar diambil dalam suasana ekonomi semasa yang tidak menentu, meskipun terdapat harapan dalam kalangan pemain industri agar kadar tersebut diturunkan.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, walaupun harapan industri adalah supaya OPR diturunkan lagi sebanyak 25 mata, pihaknya memahami BNM perlu mengambil pendekatan berhati-hati kerana keadaan geoekonomi yang agak tidak menentu.
“Selain memastikan sumber kewangan mencukupi untuk tujuan perkembangan perniagaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), BNM juga kerap mendapatkan pandangan industri termasuk Samenta untuk memastikan akses kepada pinjaman juga dapat dipermudahkan.
“Kami sedia membantu untuk memastikan kerjasama antara kerajaan, institusi perbankan dan PMKS terus dipertingkatkan, terutamanya dalam keadaan ekonomi sekarang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, pengekalan OPR dapat mengurangkan kos menjalankan perniagaan kepada peniaga yang sedia ada yang meminjam pinjaman perniagaan dari bank.
Katnya, ia akan membantu sedikit sebanyak aliran tunai peniaga yang meminjam.
“Ini juga dapat meningkat akses kredit kepada peniaga yang memerlukan pinjaman bagi mengembangkan perniagaan kerana pihak bank tentunya akan dapat menawarkan pinjaman dengan faedah yang lebih rendah, memudahkan individu dan perniagaan untuk mendapatkan kredit.
“Langkah ini boleh merangsang pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan perbelanjaan pengguna dan pelaburan, kerana kos pinjaman yang rendah akan mendorong lebih banyak aktiviti ekonomi.
“Dengan mengekalkan OPR, BNM akan dapat mengawal inflasi agar tidak meningkat secara drastik, memastikan kuasa beli rakyat terpelihara,” katanya.
Beliau menjelaskan, dalam keseluruhan, tiada kenaikan OPR boleh membuatkan ekonomi berasa lebih stabil dan memberi peluang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.
Kelmarin, BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Bank pusat itu dalam satu kenyataan berkata, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada separuh pertama 2025, disokong oleh aktiviti perbelanjaan dan pelaburan yang berterusan, dan dijangka berkembang antara 4 hingga 4.8 peratus pada tahun ini.
Menjelang 2026, ia berkata pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
Menurutnya, guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.-UTUSAN