PETALING JAYA: Operasi gas asli cecair (LNG) Petronas tidak terjejas dan tiada gangguan bekalan di kemudahan LNG miliknya di Bintulu, Sarawak.
Syarikat minyak nasional itu berkata, pihaknya mengambil maklum pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung potensi risiko keselamatan di kemudahannya di Bintulu.
“Kami memandang serius perkara sebegini dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkuasa untuk menilai serta menangani situasi berkenaan.
“Pada masa ini, operasi kami tidak terjejas dan bekalan kami tidak mengalami sebarang gangguan. Perlu diyakini bahawa keselamatan dan kesejahteraan pekerja, kontraktor dan komuniti di sekeliling kami terus menjadi keutamaan kami,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, MKN memaklumkan kerajaan telah mengarahkan semua kemudahan LNG di Bintulu diperketatkan kawalan keselamatan susulan ancaman keselamatan terhadap kemudahan berkenaan. – UTUSAN