MITI lancar sistem perkukuh rantaian bekalan negara Disember ini - Utusan Malaysia

MITI lancar sistem perkukuh rantaian bekalan negara Disember ini

TENGKU Zafrul (dua dari kanan) semasa sidang media MBSB Group Anchor Companies Open Day & Vendor Business Matching Sessions di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan melancarkan Sistem Pengurusan Pintar Rantaian Bekalan (SCIMS) pada Disember ini sebagai usaha memperkukuh rantaian bekalan negara sekali gus memastikan daya tahan ekonomi Malaysia lebih terjamin.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, sistem digital bersepadu itu diluluskan Majlis Pelaburan Negara dan dibangunkan berasaskan profil risiko serta kerentanan industri.

“Melalui SCIMS, kita dapat mengenal pasti dan mendokumentasikan pemain industri dalam lapan sektor utama iaitu farmaseutikal, peranti perubatan, peralatan perlindungan diri (PPE), elektrik dan elektronik (E&E), automotif, makanan dan minuman, ternakan kecil, akuakultur serta pertanian.

“Dengan adanya peta rantaian bekalan yang menyeluruh, negara dapat mengesan jurang kritikal, mengurangkan kebergantungan kepada import, serta membina keupayaan tempatan untuk menghadapi sebarang kejutan global,” katanya semasa sidang media Hari Terbuka Syarikat Utama & Sesi Padanan Perniagaan Vendor Kumpulan MBSB di sini hari ini.

Beliau berkata, SCIMS akan menjadi platform strategik bagi meningkatkan keterlihatan rantaian bekalan, memberi keyakinan kepada institusi kewangan untuk menyalurkan pembiayaan, selain membantu perancangan negara menghadapi krisis seperti pandemik Covid-19 atau ketegangan geopolitik.

Menurutnya, usaha memperkukuh rantaian bekalan domestik amat penting ketika dunia berdepan cabaran baharu termasuk perlindungan dagangan, perubahan iklim, kos pengangkutan yang tidak menentu serta kekurangan bakat.

“Untuk kekal berdaya saing, Malaysia mesti mempelbagaikan sumber bekalan, melabur dalam logistik pintar dan kelestarian, serta memperkukuh integrasi industri. Dengan itu, kita dapat membina ekosistem lebih kukuh dan menarik pelaburan bernilai tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN