Malaysia berminat belajar dari EU untuk realisasi APG

Malaysia berminat belajar dari EU untuk realisasi Grid Kuasa ASEAN

FADILLA Yusof (tiga dari kanan) pada menjadi panel pada Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN- EU di Hyatt Regency di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berminat untuk belajar daripada pengalaman Kesatuan Eropah (EU) dalam mewujudkan grid tenaga bersambung ketika ASEAN mempergiatkan usaha untuk merealisasikan Grid Kuasa ASEAN (APG), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, perbincangan dengan EU dapat mempercepatkan usaha merealisasikan APG, berikutan kumpulan tersebut sudah lama mempunyai sambungan tenaga rentas sempadan. 

“Jadi, kita boleh belajar daripada pengalaman mereka termasuk model kewangan, aspek teknikal, kaedah penyelarasan peraturan serta cabaran-cabaran yang mereka hadapi.

“Kita juga berharap dapat menganjurkan bengkel khas antara EU dan ASEAN untuk mencari kaedah merealisasikan APG. Daripada EU, kita boleh mendapat panduan berhubung model kewangan, aspek teknikal, penyelarasan peraturan, model perniagaan serta cabaran sebenar dalam dagangan elektrik rentas sempadan.

“Semua ini adalah pengalaman berharga yang boleh kita sesuaikan untuk memperkukuh integrasi tenaga serantau,”  katanya berkata demikian selepas menjadi panel pada Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN- EU di Hyatt Regency di sini, hari ini.

Sementara itu, Fadillah berkata, APG dijangka dimeterai pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) yang akan berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi.

Katanya, penambahbaikan memorandum persefahaman (MOU) kali ini memberi tumpuan kepada aspek kebolehoperasian termasuk usaha menyelaras standard, peraturan serta model dagangan tenaga antara negara anggota ASEAN.

“Kita sudah ada contoh baik melalui kerjasama Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura iaitu dagangan tenaga rentas sempadan telah pun berjalan. 

“Jika kita boleh mengembangkannya ke semua negara anggota lain dan jika semua anggota bersetuju, kita sudah mempunyai model perniagaan,” katanya.

Fadillah berkata, perkembangan itu memerlukan ASEAN mengenal pasti perbezaan standard, amalan dan peraturan setiap negara sebelum usaha penyelarasan dapat digerakkan secara menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN