KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines Bhd. menyasarkan untuk mengendalikan armada utama moden sebanyak 116 pesawat, dengan purata usia hanya tujuh tahun berbanding 10 tahun ketika ini menjelang 2035.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail, berkata armada baharu itu bersama perkhidmatan Firefly yang berkembang, akan menyokong rangkaian kumpulan yang merangkumi 106 destinasi di Asia, Timur Tengah dan Eropah.
Jelasnya, skala itu akan meletakkan Malaysia Airlines sebagai antara syarikat penerbangan premium terkemuka di rantau ini, dengan keupayaan untuk mengendalikan laluan serantau berpermintaan tinggi serta koridor global utama.
Katanya, dengan gabungan seimbang antara pesawat badan sempit dan badan lebar, Malaysia Airlines akan memiliki fleksibiliti untuk merebut pertumbuhan dalam pasaran serantau mahupun jarak jauh, sekali gus memastikan kumpulan kekal berdaya tahan dalam menghadapi perubahan pasaran.
“Pelaburan ini adalah tonggak penting dalam aspirasi kami untuk meletakkan Malaysia Airlines sebagai salah satu daripada 10 syarikat penerbangan global terbaik menjelang 2030.
“Setakat ini, kami telah menerima enam pesawat Airbus A330neo dan 14 pesawat Boeing 737-8 sebagai sebahagian daripada program pemodenan armada. Pesawat ini bukan sahaja meningkatkan daya saing kami, malah memberikan pengalaman perjalanan yang lebih konsisten dan selesa kepada pelanggan,” katanya ketika sidang media pengumuman laluan baru MAG di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, Malaysia Airlines kini memiliki 86 pesawat yang terdiri daripada 54 pesawat badan sempit dan 32 pesawat badan lebar.
Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada program pemodenan armada, kumpulan telah menerima 14 pesawat Boeing 737-8 setakat tahun ini.
Menjelang 2030 katanya, MAG menyasarkan untuk mengendalikan 55 pesawat badan sempit, termasuk 32 Boeing 737-8 dan 12 Boeing 737-10 bagi menyokong rangkaian dan keperluan pertumbuhan.
“Untuk pesawat badan lebar, kami telah menempah 40 A330neo. Menjelang akhir Oktober, sembilan daripadanya akan beroperasi, dengan enam sudah diserahkan dan dua lagi dijangka tiba sebelum akhir 2025.
“Dengan perolehan terkini ini, Malaysia Airlines bakal menjadi antara pengendali A330neo terbesar di rantau Asia Pasifik, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai syarikat penerbangan premium terkemuka di salah satu pasaran pelancongan yang paling pesat berkembang di dunia.
“Menjelang suku pertama 2026, kami juga akan mengendalikan armada termuda ke Australia dan New Zealand. Pesawat generasi baharu ini bukan sahaja menawarkan kecekapan operasi melalui enjin lebih jimat bahan api, tetapi turut meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang dengan kabin moden dan keselesaan dipertingkatkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Nasaruddin berkata, dengan penyertaan pesawat generasi baharu ini, Malaysia Airlines bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah membina asas untuk pengalaman perjalanan yang konsisten lebih unggul.
Beliau berkata, dengan kabin moden, keselesaan lebih baik dan ciri terkini membolehkan MAG menunaikan janji kepada penumpang bahawa setiap perjalanan dari daftar masuk hingga ketibaan mencerminkan kualiti dan kehangatan ‘Malaysian Hospitality’.
“Melangkah ke hadapan, kami mempercepatkan peluasan rangkaian bagi memperkukuh kehadiran di pasaran utama serta merebut peluang baharu. Menjelang suku keempat 2025, Malaysia Airlines akan meningkatkan jumlah pelepasan harian daripada 260 kepada lebih 310 penerbangan.
“Perluasan ini bukan sekadar menambah bilangan penerbangan, ia adalah tentang memberikan pelanggan lebih banyak pilihan, keterhubungan lebih baik, dan pengalaman perjalanan yang lebih lancar di seluruh rangkaian kami,” katanya.
Dalam majlis itu, MAG memperkenalkan empat laluan baharu ke Chengdu, Krabi, Siem Reap serta Cebu membabitkan Malaysia Airlines dan Firefly sebagai sebahagian strategi pengembangan rangkaian untuk mengukuhkan kedudukan kumpulan itu di rantau ini.
Malaysia Airlines akan menyambung semula penerbangan harian dari Kuala Lumpur ke Chengdu Tianfu International Airport (TFU) bermula 9 Januari 2026, menjadikan rangkaiannya ke Greater China meningkat kepada tujuh destinasi.
Firefly pula bakal melancarkan perkhidmatan jet baharu ke Krabi (Thailand), Siem Reap (Kemboja) dan Cebu (Filipina) dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai November 2025.-UTUSAN