KTMB bawa 27 juta penumpang, 6 juta tan kargo setahun

KTMB bawa 27 juta penumpang, 6 juta tan kargo setahun

AHMAD Nizam Mohamed Amin (kanan) bersama Pengerusi KTMB, Datuk Ahmad Redza Abdullah pada sidang akhbar selepas perasmian Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi ASEAN (ARCEOs) ke-45 2025 di Hotel Renaissance Kuala Lumpur baru-baru ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berpeluang menonjolkan pencapaian membawa lebih 27 juta penumpang setahun melalui Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), Komuter dan Intercity, selain enam juta tan kargo setahun melalui platform Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Kereta Api ASEAN ke-45 (ARCEOs’). 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif ARCEOs’ ke-45, Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, kejayaan tersebut turut diperkukuh menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif serantau.

“Ini termasuk Perkhidmatan Tren Kargo Ekspres ASEAN, Tren Pelancongan MySawasdee serta pembangunan platform digital baharu.

“Secara serantau, usaha ini memperkukuh rangkaian kereta api ASEAN dan menggalakkan sambungan rentas sempadan yang lebih meluas.

“Ini khususnya dalam pengangkutan kargo rel yang menjadi tonggak penting bagi rantaian bekalan serantau yang kukuh,” katanya selepas majlis perasmian ARCEOs’ ke-45 baru-baru ini. 

Isnin lalu, KTMB melancarkan ARCEOs’ ke-45 yang berlangsung dari 8 hingga 12 September 2025 di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre. 

KTMB turut menegaskan komitmennya memperkukuh penyepaduan rel ASEAN menerusi tiga teras utama iaitu pendigitalan, mobiliti hijau dan pembangunan modal insan, sekali gus menyokong aspirasi Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

Bersempena persidangan itu, dua lawatan teknikal dianjurkan KTMB iaitu kawatan ke SMH Rail, Klang dan Depoh Railtec, Seremban. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pelancaran Rail SuperApp atau KITS Style baru-baru ini juga merupakan satu langkah strategik ke arah integrasi digital ASEAN yang bakal membuka jalan kepada sistem tiket tunggal serantau.

“Aplikasi tersebut kini menerima lebih 20,000 pengguna bulanan dengan kadar muat turun yang tinggi, sekali gus mencerminkan penerimaan positif daripada masyarakat.

“Setiap pencapaian KTMB adalah batu asas ke arah ekosistem kereta api ASEAN yang bersatu, inovatif dan mampan,” ujarnya. 

Sebelum ini media melaporkan, KTMB telah melakukan penjenamaan semula Sistem Tiket Bersepadu (KITS) kepada KITS Style SuperApp dalam usaha mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih efisien, selamat, mampan dan berdaya saing, sekali gus membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penjenamaan semula itu bukan sekadar sebuah platform tiket, sebaliknya KITS Style SuperApp turut berfungsi sebagai aplikasi Mobility-as-a-Service (MaaS) yang mengintegrasikan mobiliti harian dan gaya hidup dalam ekosistem moden, interaktif serta serba digital.

KITS merupakan sistem tiket dalam talian yang diperkenalkan pada 17 Ogos 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×