PETALING JAYA: Kerajaan Madani menyalurkan lebih RM2 juta bagi memperkasa pekebun kecil sawit persendirian di Pitas, Sabah, sekali gus mengukuhkan penyertaan mereka dalam rantaian minyak sawit mampan.
Sejajar dengan komitmen tersebut, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin telah menyampaikan cek cura berjumlah RM713,322 kepada lapan penerima di bawah Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) ketika merasmikan Program Pemantapan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) di Pitas.
Pembiayaan tersebut melibatkan keluasan tanam semula sebanyak 39.63 hektar.
Foong Hin berkata, TSPKS 2.0 merupakan skim geran padanan mudah yang disediakan kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) khusus untuk pekebun kecil persendirian dengan keluasan tanaman di bawah 10 hektar.
Katanya, skim ini menawarkan pembayaran semula hanya bermula pada tahun kelima selepas penerimaan, sekali gus memberi ruang dan masa yang lebih baik kepada pekebun kecil.
“Sehingga kini, sebanyak 707 permohonan dengan keluasan 3,034.20 hektar telah diluluskan bagi negeri Sabah.
“Selain itu, bagi menyokong aktiviti penanaman semula, kerajaan turut melaksanakan Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) untuk menambah baik akses ke ladang-ladang sawit persendirian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sebanyak enam projek JLPK dengan peruntukan berjumlah RM1.45 juta telah diluluskan di Pitas sahaja.
Beliau menegaskan pencapaian Sabah yang memberangsangkan dalam pensijilan MSPO.
“Sehingga 31 Ogos 2025, seramai 29,918 pekebun kecil dengan keluasan 184,564 hektar telah memperoleh pensijilan, mewakili 97.62 peratus kadar pensijilan di negeri ini.
“Secara keseluruhan, sebanyak 209,033 pekebun kecil persendirian di seluruh negara melibatkan 747,012 hektar tanaman sawit telah berjaya mendapat pensijilan MSPO,” ujarnya. – UTUSAN