KUALA LUMPUR: UDA Holdings Berhad (UDA) menawarkan lebih 800 unit kediaman di sekitar Lembah Klang, disertai pelbagai insentif dan cabutan bertuah bernilai keseluruhan sehingga RM250,000 melalui kempen hartanah ‘UDA Signature Dreams’.
Majlis pelancaran itu turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara UDA dan syarikat reka bentuk dalaman, Nai BNB bagi tempoh dua tahun.
Melalui kerjasama itu, Nai BNB akan memberi sentuhan kreatif terhadap unit pameran rasmi di Residensi 38 Bangsar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil berkata, inisiatif yang bermula 22 September sehingga 31 Disember 2025 itu dirangka khusus untuk menggalakkan pemilikan rumah, terutama dalam kalangan bumiputera di lokasi strategik di bandar raya.
“Kempen ini secara langsung menyokong aspirasi kerajaan dalam memperluas akses pemilikan rumah di kawasan bandar, sekali gus mengukuhkan pertumbuhan sektor hartanah yang inklusif dan berdaya saing,” katanya semasa majlis pelancaran tersebut di sini, semalam.
Antara projek yang diketengahkan ialah Residensi Akasia Raya, Dedaun Residensi di Bandar Tun Hussein Onn, Residensi 38 Bangsar dan Legasi Kampong Bharu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, lebih 800 unit yang ditawarkan merangkumi pelbagai segmen, daripada pangsapuri mampu milik hingga kondominium premium, dengan insentif seperti deposit rendah, pengecualian duti setem dan perjanjian jual beli (SPA), subsidi memorandum pindah milik (MOT) serta pakej hiasan dalaman.
“Setiap pembangunan mencerminkan komitmen UDA menyediakan pilihan yang memenuhi keperluan berbeza pembeli rumah sama ada pembeli pertama, keluarga yang mahu menambah ruang atau pelabur masa depan.
“Melalui kempen ini, kami membuka pintu bukan sahaja kepada rumah, tetapi juga kepada peluang. Kami berharap lebih ramai dapat berkata, ‘Inilah rumah saya’,” katanya.
Sebagai tarikan tambahan, pembelian sepanjang tempoh kempen hingga 31 Disember ini melayakkan pelanggan menyertai cabutan bertuah ‘UDA Signature Dreams’.
Tambah beliau, pelancaran kali ini juga menandakan kesinambungan usaha UDA selama lebih lima dekad dalam membangunkan hartanah berkualiti dan berdaya saing.
“Matlamat kami bukan sekadar menjual rumah, tetapi membantu rakyat Malaysia memiliki kediaman yang menjadi warisan untuk generasi akan datang.
“Kami akan terus membangunkan projek moden, mampu milik dan lestari di seluruh negara dari Pantai Timur ke Johor, dari Utara hingga Sarawak,” tambahnya. – UTUSAN










