TUJU Residences & Retail yang dibangunkan oleh Distinctive World Sdn. Bhd. di KL Duta North, Segambut, menetapkan penanda aras baharu dalam pembangunan kediaman bandar apabila memperkenalkan konsep kehidupan sejahtera yang holistik selaras dengan aspirasi Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040).
Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM750 juta, projek seluas 1.83 hektar ini menggabungkan 932 unit kediaman moden bersama 38 unit runcit, mewujudkan komuniti dinamik yang menekankan keseimbangan antara kemajuan infrastruktur, keselesaan hidup dan kelestarian alam.
Pengarah Eksekutif Distinctive World, Monica Lai berkata, TuJu Residences direka untuk mengangkat gaya hidup bandar ke tahap baharu dengan menekankan aspek kesejahteraan fizikal dan mental selain memupuk interaksi komuniti.
Menurutnya, kejayaan TuJu Residences turut dipacu oleh lokasi strategiknya di tengah Segambut yang sedang melalui transformasi pesat sebagai hab kesejahteraan bandar.
“Kejiranan itu kini berkembang menjadi kawasan bersepadu yang memberi tumpuan kepada gaya hidup sihat, alam sekitar dan keselamatan, sejajar dengan matlamat PTKL 2040 menjadikan Kuala Lumpur sebuah kota mampan dan mesra komuniti.
“Di TuJu Residences, visi kami adalah mencipta persekitaran hidup yang mengutamakan kesejahteraan dan keterangkuman.
“Setiap kemudahan dan elemen seni bina disusun teliti supaya semua penduduk, tanpa mengira usia, dapat menikmati kehidupan harmoni dan seimbang.
“Projek ini menampilkan seni bina yang diinspirasikan daripada karya abstrak Piet Mondrian dengan fasad ceria, pengudaraan pasif, sistem pengumpulan air hujan dan teknologi penjimatan tenaga, menyerlahkan komitmen terhadap kelestarian.
“Selain itu, ia turut menyediakan kemudahan mesra kenderaan elektrik, susun atur fleksibel dan akses mesra kerusi roda bagi memastikan keselesaan semua lapisan masyarakat.
“Antara kemudahan eksklusif yang ditawarkan ialah lebih 50 fasiliti rekreasi termasuk kolam renang infiniti sepanjang 50 meter, ruang sky dining, lounge teater, gelanggang sukan dan dewan serba guna yang direka untuk menyemai semangat komuniti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Setiap unit pameran turut diberi sentuhan seni bina tersendiri daripada tema botani yang menyegarkan, ruang minimalis Scandinavian, sehinggalah konsep profesional kontemporari mencerminkan kepelbagaian cita rasa pembeli.
Keunikan ini bukan sahaja menjadikan setiap kediaman lebih peribadi, malah menzahirkan falsafah projek untuk meraikan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial dalam satu ruang hidup.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Distinctive World, Lim Ech Chan berkata, TuJu Residences bukan sekadar projek kediaman tetapi sebuah destinasi yang memupuk nilai kekitaan dan kebahagiaan.
“Visi kami adalah melakar komuniti di mana kehidupan menjadi lebih bermakna iaitu tempat setiap individu berasa dihargai dan disokong, dari aspek mental, fizikal dan rohani.
“Kami ingin mewujudkan kediaman yang memperkayakan kehidupan harian, selain memberi peluang pelaburan jangka panjang kepada pembeli dan pelabur,” ujarnya.
Lokasinya yang strategik berhampiran Jalan Kuching membolehkan penduduk menikmati capaian mudah ke Duta–Ulu Kelang Expressway (DUKE), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) dan New Klang Valley Expressway (NKVE), selain kemudahan bas ulang-alik percuma ke Publika, Transit Aliran Massa (MRT) Titiwangsa dan Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Dengan pelancaran Blok B pada Mac lalu dan Blok A yang dijangka memasuki pasaran pada suku pertama 2025, TuJu Residences muncul sebagai mercu tanda baharu yang mendefinisikan pembangunan bandar Segambut, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama kehidupan masa depan yang lestari dan harmoni. – UTUSAN










