PETALING JAYA: Kadar pengangguran negara kekal pada 3.0 peratus dengan seramai 521,600 orang penganggur pada Julai 2025, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menerusi kenyataannya, jumlah tenaga buruh meningkat kepada 17.47 juta orang berbanding 17.43 juta pada Jun 2025, manakala bilangan penduduk bekerja meningkat 0.2 peratus kepada 16.95 juta orang.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh masih berada pada landasan positif disokong oleh pertumbuhan ekonomi domestik.
Beliau berkata, sektor perkhidmatan kekal memacu peningkatan pada bulan ini terutamanya dalam aktiviti perdagangan, penginapan dan makanan & minuman serta maklumat dan komunikasi.
“Daripada jumlah yang bekerja, 75 peratus atau 12.71 juta orang adalah pekerja makan gaji, manakala 3.21 juta orang merupakan pekerja sendiri.
“Selain itu, bilangan pekerja yang bekerja kurang 30 jam seminggu juga menunjukkan penurunan kepada 240,500 orang” katanya.
Sementara itu, bilangan mereka yang tergolong dalam bekerja kurang daripada 30 jam seminggu dan mampu menerima tambahan jam bekerja juga menurun kepada 134,800 orang atau 2.1 peratus.
Dalam kalangan penganggur, sebanyak 416,200 orang atau 79.8 peratus adalah penganggur aktif yang mencari kerja, manakala 64.3 peratus pula merupakan mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan.
Jelasnya, terdapat 5.1 peratus penganggur yang menganggur lebih dari setahun dan penganggur tidak aktif pula meningkat sebanyak 1.1 peratus kepada 105,500 orang.
“Bagi belia, kadar pengangguran berumur 15 hingga 24 tahun kekal tinggi pada 10.2 peratus sebanyak 298,900 orang, manakala belia berumur 15 hingga 30 tahun berada pada kadar 6.2 peratus dengan jumlah 399,00 orang.
“Walau bagaimanapun, bilangan penduduk di luar tenaga buruh juga menunjukkan peningkatan kepada 7.19 juta dan 43.7 peratus terdiri daripada kerja rumah serta tanggungjawab keluarga, manakala kategori bersekolah dan latihan mewakili 40.8 peratus,” ujarnya.
DOSM menjangkakan pasaran buruh akan kekal stabil dan berdaya tahan, dengan menumpukan kepada peningkatan kemahiran, inovasi dan pembangunan ekonomi hijau bagi memastikan daya saing global. – UTUSAN