PETALING JAYA: Hengyuan Refining Company Berhad (Hengyuan) mengumumkan cadangan terbitan hak sehingga 300 juta saham biasa baharu bersama 150 juta waran percuma boleh dipisahkan dengan potensi kutipan dana mencecah RM300 juta.
Menurut kenyataan, pemegang saham utamanya, Malaysia Hengyuan International Limited (MHIL) yang menguasai 51.02 peratus kepentingan dalam syarikat itu memberi komitmen untuk melanggan sepenuhnya saham hak yang diperuntukkan kepadanya.
“Langkah tersebut memastikan Hengyuan memperoleh kutipan minimum sebanyak RM155 juta.
“Sebahagian besar dana akan digunakan bagi pembelian tambahan minyak mentah sebagai bahan asas dalam proses penapisan serta pengeluaran produk petroleum.
“Usaha itu dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos seunit dan memperkukuh daya saing syarikat,” katanya.
Pada tahun kewangan 2024, Hengyuan merekodkan hasil RM17.2 bilion, meningkat 12 peratus berbanding tahun sebelumnya berikutan permintaan tinggi terhadap produk ditapis.
Syarikat kekal sebagai pembekal utama produk Shell di Semenanjung Malaysia, selain menambah pelanggan baharu seperti Petronas, Petron dan Five.
Ketua Pegawai Kewangan Hengyuan, Yeo Bee Hwan berkata, syarikat itu telah melabur lebih RM2.2 bilion dalam tempoh lima tahun lalu untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran serta membangunkan produk bernilai tinggi termasuk bahan api penerbangan mampan dan gasoil Euro 5.
“Cadangan terbitan hak ini akan menyediakan modal kerja untuk menambah bahan mentah serta menyokong kecekapan operasi, selain memperkukuh asas ekuiti dan fleksibiliti kewangan kami.
“Dengan sokongan pemegang saham utama, MHIL, serta pelaksanaan inisiatif strategik, Hengyuan menyasarkan untuk kembali mencatat keuntungan menjelang 2026. Lembaga Pengarah juga akan mempertimbangkan penyambungan semula pembayaran dividen pada masa hadapan,” katanya.
Kini, kira-kira 90 peratus produk ditapis Hengyuan dipasarkan di dalam negara manakala bakinya dieksport ke rantau Asia Tenggara. – UTUSAN