PETALING JAYA: Hengyuan Refining Company Berhad (Hengyuan) mengumumkan para pemegang saham memberikan kelulusan majoriti besar untuk cadangan terbitan hak boleh serah sehingga 300 juta saham biasa baharu, berserta sehingga 150 juta waran boleh asing percuma.
Sebanyak 99.23 peratus undi menyokong langkah tersebut yang akan membuka sumber tambahan mendapatkan stok suapan minyak mentah, meningkatkan kecekapan operasi, dan mengukuhkan asas ekuiti serta kedudukan kewangan syarikat.
Ketua Pegawai Kewangan Hengyuan Refining Company Berhad, Yeo Bee Hwan berkata, urusan strategik bekalan dan kredit syarikat dengan Trafigura bukan sekadar menawarkan syarat kredit menggalakkan tapi ia adalah mengenai kebolehpercayaan bekalan, fleksibiliti kewangan dan ketangkasan operasi.
“Keupayaan Trafigura menawarkan terma pembayaran yang disesuaikan dan akses terjamin kepada portfolio minyak mentah yang luas meletakkan Hengyuan pada kedudukan untuk bertindak balas dengan pantas.
“Ini terhadap perubahan pasaran dan mendapatkan stok suapan optimum pada kos yang kompetitif,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pengumuman berasingan, Hengyuan mengesahkan ia telah memeterai satu urusan strategik bekalan dan kredit dengan Trafigura Pte. Ltd. (Trafigura), salah sebuah syarikat dagangan komoditi fizikal terkemuka di dunia.
Di bawah urusan itu, Trafigura akan menyediakan Hengyuan dengan terma pembayaran fleksibel dan jadual penghantaran, sejajar kitaran pengeluaran loji penapisan dan keadaan pasaran, membolehkan syarikat mengoptimumkan aliran tunai dan pengurusan inventori.
Kerjasama tersebut juga memberikan Hengyuan akses keutamaan kepada portfolio minyak mentah global Trafigura yang pelbagai, mengurangkan pendedahan kepada gangguan bekalan dan ketidaktentuan harga.
Dengan memanfaatkan kepakaran pengurusan risiko dan rangkaian logistik Trafigura yang luas, Hengyuan akan dapat memperoleh gred minyak mentah yang memaksimumkan margin penapisan dan meningkatkan kecekapan operasi.
Pada Julai 2025, Hengyuan mengumumkan cadangan terbitan hak boleh serah sehingga 300 juta saham biasa baharu, berserta sehingga 150 juta waran boleh asing percuma.
Ini juga merangkumni atas dasar satu saham hak untuk setiap satu saham Hengyuan sedia ada yang dipegang dan satu waran untuk setiap dua saham hak yang dilanggan, pada harga terbitan dan tarikh kelayakan yang akan ditentukan dan diumumkan kemudian (Cadangan Terbitan Hak dengan Waran).
Pemegang saham utama Hengyuan, Malaysia Hengyuan International Limited (MHIL), yang memegang 51.02 peratus saham terbitan syarikat telah memberi akujanji untuk melanggan sepenuhnya peruntukan haknya.
Komitmen itu menjamin pengumpulan dana minimum sebanyak RM155 juta melalui langkah ini.-UTUSAN