Glomac catat margin untung kasar 34.3% pada suku pertama 

Glomac catat margin untung kasar 34.3% pada suku pertama 

glomac
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Glomac Berhad (Glomac) mencatatkan margin untung kasar yang lebih baik sebanyak 34.3 peratus  bagi suku pertama berakhir 31 Julai 2025, meningkat daripada 30.9 peratus pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.

Peningkatan margin itu didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada produk bermargin tinggi, termasuk pejabat kedai di Saujana Perdana dan KEYS Semi-D di Lakeside Residences.

Walaupun begitu, Glomac mencatatkan hasil lebih rendah pada tempoh itu sebanyak RM26.1 juta berbanding RM73.3 juta pada tempoh sama tahun sebelum. 

Melangkah kehadapan, Glomac berkata,  syarikat akan memperkenalkan produk bernilai kira-kira RM600 juta ke pasaran untuk dijual dalam tahun kewangan semasa. 

“Ini merangkumi projek kediaman bertanah yang sedang berjalan dan fasa baharu dan kumpulan terus menikmati permintaan yang mampan.

“Pelancaran utama termasuk, fasa baharu rumah teres Serai di Sungai Buloh Country Resort. 

“Selepas kejayaan penjualan habis Serai 1 yang merangkumi 112 unit rumah teres dua tingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM72 juta, Serai 2 telah dilancarkan pada Mei 2025 dengan sambutan positif, manakala Serai 3 dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun kewangan 2026,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, pelancaran lain yang dirancang untuk tahun ini termasuk, rumah teres di Saujana Jaya, Kulai dan Semi-D di Saujana Rawang. 

“Glomac memiliki portfolio tanah simpanan yang strategik dengan GDV dianggarkan melebihi RM6.6 bilion.

“Kumpulan juga mengekalkan kedudukan tunai bersih yang kukuh dengan jumlah tunai dan setara tunai sebanyak RM243.2 juta, serta disokong oleh Program Sukuk Wakalah sehingga RM3.0 bilion. 

“Kedudukan kewangan yang mantap ini memberikan fleksibiliti kepada kumpulan membiayai keperluan modal kerja, meneruskan pengambilalihan tanah strategik dan meneroka kepelbagaian sinergi dalam perniagaan teras pembangunan hartanahnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×