DALAM era digital yang dipacu media sosial, citarasa pengguna terutamanya generasi muda semakin dipengaruhi oleh estetika dan gaya hidup yang dipaparkan dalam talian.
Fenomena ini turut memberi kesan langsung kepada pasaran hartanah apabila permintaan terhadap rumah yang Instagrammable, iaitu kediaman yang cantik luaran dalaman dan sesuai untuk dikongsi di media sosial, semakin meningkat.
Rumah berkonsepkan Instragrammable dilihat sebagai rekaan dalaman yang moden, pencahayaan semula jadi yang baik serta konsep minimalis dan estetik kini menjadi kriteria penting dalam keputusan pembelian rumah, selain faktor harga dan lokasi.
Trend ini bukan sahaja mengubah strategi reka bentuk pemaju hartanah, malah memberi impak terhadap nilai pasaran, kos pengubahsuaian, dan pola permintaan dalam sektor kediaman, khususnya dalam kalangan pembeli muda bandar.
Dalam konteks ekonomi, rumah instagrammable mencerminkan bagaimana gaya hidup digital mampu mempengaruhi pilihan pelaburan besar seperti pembelian hartanah, satu petanda perubahan landskap pasaran yang semakin dipacu oleh visual, bukan semata-mata fungsi.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, dalam penyenaraian atas talian, visual yang menarik boleh menggandakan jumlah pertanyaan dan sesi lawatan.
Katanya, ia boleh mencetuskan ‘perang bidaan’ dan meningkatkan harga jualan sehingga lima peratus untuk hartanah biasa atau sehingga 15 peratus dalam kes yang luar biasa.
“Ciri-ciri yang instagrammable menarik pembeli untuk datang melihat, tetapi mereka tidak akan membeli jika nilai, kualiti dan harga tidak seiring.
“Jika dulu pembeli melawat rumah dan ambil gambar untuk mengingati susun atur, kini mereka berswafoto di tepi kolam atas bumbung atau berdiri di taman dengan latar langit bandar di belakang. Mencari rumah kini menjadi sebahagian daripada kandungan media sosial mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurutnya, ejen hartanah yang baik tahu untuk tidak photobomb.
“Malah, ejen yang terbaik akan membimbing pelanggan ke sudut yang paling fotogenik, dengan berkata, ‘cuba ambil gambar di sini, dengan kolam di latar belakang.’
“Kami menasihati pemaju untuk menyambut perubahan ini. Mereka kini membelanjakan lebih banyak untuk kemudahan seperti bumbung, gimnasium, ruang santai dan ruang komuniti.
“Tujuannya bukan sahaja untuk menambah baik kualiti hidup, tetapi juga mencipta ‘momen viral’,” katanya.
Di taman yang dahulunya kosong, kini mungkin ada arca seni yang diletakkan strategik untuk swafoto.
“Satu daripada ciri Instagrammable yang sering diabaikan ialah pemandangan. Pemandangan tinggi dari pintu masuk utama adalah sesuatu yang orang sanggup bayar dan kongsikan dalam media sosial mereka,” katanya.
Kashif berkata, bagi kebanyakan pembeli muda, nilai masih menjadi keutamaan.
Jelasnya, ini bermaksud rumah yang mampu milik, lokasi strategik, binaan berkualiti, dan cukup luas untuk didiami malah juga untuk bekerja dari rumah.
“Namun apabila membandingkan dua hartanah yang hampir sama, reka bentuk boleh menjadi faktor penentu. Rumah yang mempunyai kolam infiniti di bumbung, pencahayaan pintar atau kemasan mesra alam lebih cenderung dipilih.
“Pembeli muda hari ini tertarik kepada teknologi pintar, susun atur pelbagai fungsi dan kemudahan yang sesuai dengan gaya hidup serta citra media sosial mereka,” katanya.
Kashif memaklumkan, elemen estetik seperti ruang bergambar atau trend hiasan dalaman yang tular boleh menambah nilai hartanah sehingga lima peratus dalam situasi biasa atau sehingga 15 peratus dalam kes yang luar biasa.
“Pembeli sanggup masuk dalam perang bidaan untuk hartanah unik kerana mungkin tiada yang seumpamanya di pasaran,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, untuk memastikan rumah yang dibina mendapat permintaan, pemaju akan bersaing mendapatkan tanah di lokasi yang strategik.
Katanya, jika tanah yang baik tidak dapat diperoleh, rumah yang dibina akan dijual pada harga lebih rendah.
“Lokasi ialah elemen nilai yang pertama. Elemen penting lain termasuk keluasan, kualiti binaan dan harga. Ciri reka bentuk datang kemudian.
“Bayangkan seperti membuat semangkuk cendol. Yang penting adalah ais, sirap dan santan. Anda juga perlukan jeli hijau dan kacang merah. Ciri Instagrammable pula seperti jagung manis di atasnya adalah pelengkap, tetapi bukan yang paling penting,” katanya.
Pihaknya turut menasihati pemaju untuk memberi tumpuan kepada elemen asas nilai terlebih dahulu seperti harga, saiz, lokasi dan kualiti.
“Apabila tiba masa untuk memasarkan projek, barulah mereka boleh melihat jangkaan pasaran terhadap ciri reka bentuk dan kemudahan Instagrammable.
“Pemaju biasanya akan lengkapkan perancangan untuk ciri Instagrammable ini pada fasa pemasaran,” ujarnya. – UTUSAN