PETALING JAYA: Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.1 peratus bulan ke bulan pada Ogos lalu kepada 1,575 mata, peningkatan paling kukuh sejak Julai 2023, kata CIMB Securities Sdn. Bhd. (CIMB Securities).
Firma penyelidikan berkata, pertumbuhan tersebut didorong oleh pemotongan tarif oleh Amerika Syarikat (AS), lanjutan 90 hari gencatan perdagangan antara AS-China, Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13), jangkaan pemotongan kadar faedah untuk AS dan musim keputusan suku kedua yang lebih baik.
“Walau bagaimanapun, kenaikan sebahagiannya dihadkan oleh lonjakan 3.7 kali dalam aliran keluar ekuiti asing kepada RM3.4 bilion pada Ogos 2025, mengheret pegangan saham asing dalam ekuiti Malaysia ke rekod rendah sebanyak 18.8 peratus.
“Walaupun dengan lantunan pada Ogos, indeks masih turun empat peratus dari awal tahun hingga kini (YTD),” katanya dalam Rangkuman Bulanan bagi Ogos 2025 .
CIMB Securities berkata, institusi tempatan adalah pembeli bersih pada Ogos 2025 dengan aliran masuk bersih RM3.38 bilion, meningkatkan pembelian lapan bulan pertama 2025 kepada RM12.9 bilion, melebihi RM11.6 bilion yang dicatatkan untuk tahun penuh 2024.
Katanya, pelabur asing melanjutkan aliran jualan mereka dengan aliran keluar RM3.43 bilion, meningkatkan jualan bersih dalam lapan bulan pertama mereka kepada RM16.5 bilion dan mengurangkan pegangan saham asing kepada rekod terendah 18.8 peratus.
“Secara bermusim, KLCI mempunyai purata -2.2 peratus pada September sepanjang dekad yang lalu dan -1.1 peratus dalam tempoh 47 tahun yang lalu.
“Acara penting untuk ditonton pada September 2025 termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 4 September, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 16 dan 17 September dan keluaran Indeks Harga Pengguna (IHP) Ogos 2025 Malaysia pada 23 September,” ujarnya.
Firma berkata, perkembangan ketara lain yang perlu dipantau ialah pengumuman berpotensi mengenai pelancaran rasionalisasi subsidi bahan api RON95 menjelang akhir September 2025 dan pelepasan nilai Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) untuk tarif elektrik September.
CIMB Securites berkata, di peringkat serantau, FBM KLCI adalah pasaran berprestasi kedua terbaik dalam kalangan pasaran Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand (MIST) pada Ogos 2025, di belakang Jakarta Composite Index (IHSG) (+4.6 peratus bulan ke bulan).
“Ia mengatasi prestasi Straits Times Index (STI), Singapura (+2.3 peratus bulan ke bulan), Stock Exchange of Thailand (SET) (-1.3 peratus bulan ke bulan) dan Indeks MSCI All Country ex-Japan (-0.5 peratus).
“Bagi lapan bulan pertama pula, Singapura (+12.7 peratus) dan Indonesia (+10.6 peratus) menerajui pasaran MIST, manakala Malaysia (-4.0 peratus) dan Thailand (-11.7 peratus) ketinggalan,” ujarnya. – UTUSAN










