EcoWorld catat jualan RM3.84b dalam 10 bulan

EcoWorld catat jualan RM3.84b dalam 10 bulan

ECOWORLD menunjukkan prestasi cemerlang pada tahun kewangan 2025 dengan jualan keseluruhan yang mengatasi sasaran sebanyak 30 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) mencatatkan prestasi cemerlang bagi tempoh 10 bulan pertama dengan jualan terkumpul sebanyak RM3.84 bilion, melepasi sasaran tahun penuh sebanyak RM3.5 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chang Khim Wah berkata, prestasi kukuh ini didorong oleh sambutan menggalakkan terhadap projek-projek di tiga wilayah utama iaitu Iskandar Malaysia (RM1.99 bilion), Lembah Klang (RM1.47 bilion) dan Pulau Pinang (RM378 juta).

“Segmen kediaman terus menjadi pemacu utama, menyumbang lebih RM2.08 bilion setakat Ogos 2025. Malah, jualan rumah bertanah di bawah Eco Townships sahaja telah melepasi pencapaian tahun penuh tahun kewangan 2024,” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat 31 Ogos 2025, jualan terkumpul EcoWorld bagi tahun kewangan semasa berjumlah RM3.84 bilion, didorong terutamanya oleh projek Eco Townships yang menyumbang RM1.39 bilion atau 54 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan.

Eco Rise mencatatkan jualan sebanyak RM690 juta, manakala Eco Hubs menyumbang RM525 juta iaitu 14 peratus daripada segmen komersial.

Bagi segmen perindustrian, Eco Business Parks menambah RM280 juta, bersamaan 32 peratus daripada jumlah jualan industri. 

Dalam pada itu, inisiatif QUANTUM turut menyumbang sebanyak RM960 juta kepada prestasi jualan keseluruhan.

Sehingga 31 Julai 2025, nisbah hutang bersih kumpulan berada pada paras 0.53 kali, disokong oleh baki tunai yang tinggi termasuk deposit dan dana jangka pendek berjumlah RM1.70 bilion.

Khim Wah berkata, kedudukan kewangan yang sihat membolehkan syarikat terus memberi ganjaran kepada pemegang saham dengan dividen interim ketiga sebanyak dua sen sesaham bagi suku ketiga 2025, menjadikan jumlah keseluruhan dividen tahun ini sebanyak 5 sen sesaham setakat ini.

Beliau turut memaklumkan, rancangan strategik kumpulan untuk meningkatkan pendapatan berulang sedang berjalan lancar, dengan kerja-kerja pembinaan asas dan struktur utama pusat data yang bakal disewakan kepada Pearl Computing Malaysia Sdn. Bhd. kini sedang dijalankan dan dijangka siap pada separuh kedua tahun kewangan 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×