BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus

BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus

BANK Negara Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) semalam.

Bank pusat berkata, penunjuk terkini menunjukkan pengembangan yang berterusan dalam pertumbuhan global, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berterusan dan aktiviti yang dilakukan lebih awal.

“Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil. 

“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri,” katanya dalam kenyataan.

BNM berkata, penyelesaian sebahagian daripada rundingan perdagangan telah membantu meredakan ketidakpastian global dan prospek pertumbuhan global dijangka terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dasar monetari yang kurang ketat dan rangsangan fiskal. 

Walau bagaimanapun, bank pusat berkata, perkembangan dasar perdagangan masih dijangka mempengaruhi pertumbuhan global pada masa hadapan, apabila kadar tarif yang diumumkan berkuat kuasa dan aktiviti yang dilakukan lebih awal berkurang. 

“Pertumbuhan kekal berisiko menjadi perlahan, meskipun pada tahap yang lebih rendah susulan kemungkinan tarif yang lebih tinggi, terutamanya tarif yang khusus bagi produk serta ketegangan geopolitik yang semakin meruncing. 

“Ketidakpastian yang berpanjangan ini boleh mengakibatkan volatiliti yang lebih ketara dalam pasaran kewangan global dan harga komoditi. 

“Pertumbuhan berpotensi menjadi pesat berikutan hasil yang menggalakkan daripada rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang masih berlangsung serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju,” ujarnya.

BNM berkata, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada separuh pertama tahun 2025, disokong oleh aktiviti perbelanjaan dan pelaburan yang berterusan dan dijangka berkembang antara empat hingga 4.8 peratus pada tahun 2025. 

“Menjelang tahun 2026, pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan. 

“Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah,” jelasnya.

Bank pusat berkata, pengembangan aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN