KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd. menyarankan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) diperkenalkan semula serta penjelasan lebih terperinci mengenai peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam Belanjawan 2026 bagi menyokong pemaju dan juga pembeli rumah.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Azmir Merican berkata, syarikat telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan.
“Kami merasakan HOC wajar dihidupkan semula. Sudah lebih dua tahun sejak ia diadakan kali untuk terakhir dan inisiatif itu akan membantu menyokong pembeli rumah serta pasaran,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran identiti jenama baharu syarikat itu.
Beliau berkata, syarikat juga memohon garis panduan yang lebih jelas mengenai pelaksanaan SST dengan penjelasan tepat pada masanya dapat membantu menyelesaikan beberapa isu yang masih tertangguh.
Menyentuh prospek pasaran secara keseluruhan, Azmir Merican berkata, Sime Darby Property kekal berhati-hati namun optimis dengan mengimbangi peluang pertumbuhan serta langkah berhemat di tengah-tengah cabaran luaran seperti peningkatan kos dan perubahan dasar.
“Tahun ini merupakan tempoh di mana kami perlu bertindak balas terhadap banyak faktor luaran, daripada kesan Hari Pembebasan hinggalah peluasan SST.
“Perkembangan ini memberi kesan bukan sahaja kepada pemaju hartanah tetapi juga kepada ekonomi secara keseluruhan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa walaupun permintaan dalam kawasan perbandaran milik kumpulan kekal menggalakkan, pendekatan berhati-hati masih diperlukan.
Jelasnya, keseimbangan antara pembangunan hartanah dan pendapatan berulang amat penting bagi memastikan daya ketahanan yang lebih kukuh ketika berdepan ketidaktentuan.
Dalam perkembangan lain, Sime Darby Property melancarkan logo baharu dengan identiti jenama diperbaharui, menandakan fasa penting dalam peralihan kumpulan daripada pemaju hartanah tradisional kepada syarikat hartanah bersepadu.
Logo itu mengekalkan tiga elemen utama yang sinonim dengan Sime Darby Property iaitu nama, perisai dan warna merah warisan yang sudah membawa pengiktirafan sejak beberapa dekad.
Bagaimanapun, pembaharuan dilakukan pada cara penyampaian jenama dengan penampilan lebih moden, seiring strategi masa depan kumpulan, di samping mengekalkan keakraban dan kepercayaan pelanggan.
Logo baharu itu terbentuk daripada inspirasi nilai TEAM dan empat tonggak sebagai penganda nilai kepada manusia, perniagaan, ekonomi dan planet yang digambarkan melalui rona merah dan kuning berasaskan warna warisan Sime Darby.
Dengan pengalaman lebih 50 tahun dalam pembangunan hartanah, termasuk legasi lebih 200 tahun melalui Guthrie, Golden Hope dan Sime Darby, syarikat itu telah menyerahkan lebih 100,000 kediaman di 26 perbandaran aktif, memberi perkhidmatan kepada lebih 300,000 rakyat Malaysia. – UTUSAN










