ASEAN tawar blok perdagangan berdaya tahan kepada EU

ASEAN tawar blok perdagangan berdaya tahan kepada EU

AMIR Hamzah Azizan menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU di Hyatt Regency di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia dan ASEAN teguh dengan multilateralisme dan perdagangan berasaskan peraturan seterusnya berupaya menawarkan blok perdagangan yang berdaya saing kepada Kesatuan Eropah (EU) untuk membina semula rantaian perdagangan global yang lebih kukuh dan berdaya tahan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia komited untuk memacu pencapaian ekonomi transformasi di rantau ini.

Katanya, ini termasuk merangka mekanisme pembiayaan inovatif dan penyelesaian bagi menyokong inisiatif infrastruktur seperti grid kuasa ASEAN serta projek penangkapan dan penyimpanan karbon.

“Usaha kami adalah menyelaras dan menyatukan peraturan di seluruh ASEAN, sekali gus membina jambatan untuk ASEAN yang lebih berhubung dan lebih bersepadu. 

“ASEAN yang lebih kukuh dan berupaya juga menawarkan blok perdagangan yang berdaya saing untuk EU dan saya percaya kita boleh menanam akar kekuatan baharu melalui perkongsian serta perbincangan yang berterusan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU di Hyatt Regency di sini, semalam.

Beliau berkata, Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan EU yang disambung semula November ini berpotensi membuka peluang besar dalam perdagangan digital, pemindahan teknologi hijau serta pembangunan rantaian nilai mampan.

Ujarnya, EU kekal sebagai rakan dagang utama Malaysia dengan mencatatkan jumlah dagangan dua hala bernilai AS$45.33 bilion pada 2024.

“EU juga adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dan menjadi destinasi eksport keempat terbesar selain sumber import ketiga terbesar negara.

“Malaysia terus menarik FDI (dari) EU, terutamanya dalam pembuatan, teknologi hijau dan ekonomi digital. Apabila rundingan untuk FTA Malaysia-EU disambung semula pada November ini, kami menjangkakan peluang baharu dalam perdagangan digital, pemindahan teknologi hijau dan rantaian nilai yang mampan,” katanya.

Selain itu, Amir Hamzah berkata, agenda kerjasama ekonomi ASEAN tahun ini memberi tumpuan kepada pembangunan mekanisme pembiayaan inovatif serta penyelesaian baharu bagi menyokong projek infrastruktur serantau. 

Jelasnya, antara inisiatif utama ialah grid kuasa ASEAN, projek penangkapan dan penyimpanan karbon serta pembangunan taksonomi ASEAN untuk kewangan mampan yang bakal dilancarkan dalam versi keempat hujung tahun ini.

“ASEAN turut bekerjasama rapat dalam memperkukuh keterhubungan pasaran, meningkatkan aliran modal rentas sempadan dan mengukuhkan agenda kemampanan.

“Ini termasuk pembangunan ekosistem kemampanan serantau yang menambah baik ketelusan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta rangka kerja karbon bersama ASEAN yang menyokong pembangunan pasaran karbon.

“Malaysia percaya langkah ini bukan sahaja memperkukuh integrasi ekonomi serantau, malah mewujudkan jambatan baharu untuk memperdalamkan hubungan dagang dengan EU,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN