ARCEOs’ ke-45 lonjak peranan rel sebagai pemacu ekonomi

ARCEOs’ ke-45 lonjak peranan rel sebagai pemacu ekonomi ASEAN

AHMAD Nizam Mohamed Amin (kiri) bersama Hasbi Habibollah (tengah); Pengerusi KTMB, Datuk Ahmad Redza Abdullah (lima kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan (lima kanan) bergambar selepas perasmian Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi ASEAN ke-45 2025 di Hotel Renaissance Kuala Lumpur di sini, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi ASEAN (ARCEOs’) ke-45 yang berlangsung dari 8 hingga 12 September 2025 di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre menjadi platform penting memperkukuh kerjasama serantau dalam sektor rel.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menegaskan komitmennya memperkukuh penyepaduan rel ASEAN menerusi tiga teras utama iaitu pendigitalan, mobiliti hijau dan pembangunan modal insan, sekali gus menyokong aspirasi Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

Persidangan lima hari bertemakan ‘Memandu Inovasi, Menghubung Sempadan’ itu menghimpunkan ketua pegawai eksekutif dan peneraju organisasi kereta api dari lapan negara ASEAN iaitu Malaysia, Laos, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Thailand, Myanmar dan Filipina, selain disertai lebih 100 delegasi serantau dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Teknikal (pemangku tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB), Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, kereta api bukan sekadar mod pengangkutan tetapi berperanan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial dan kelestarian alam sekitar di rantau ini.

“Bayangkan masa depan tanpa sempadan apabila penumpang dari Hanoi boleh menaiki tren hingga ke Malaysia hanya dengan satu tiket, manakala kargo pula bergerak rentas negara tanpa birokrasi yang melambatkan.

“Dalam konteks kolaborasi, ARCEOs’ bukan sahaja medan dialog tetapi juga pemacu kepada usaha penyelarasan standard operasi, harmonisasi peraturan keselamatan serta pembangunan jaringan Trans-ASEAN bagi menutup jurang perhubungan sedia ada,” katanya ketika perasmian ARCEOs’ ke-45 di sini, semalam. 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ARCEOs’ ke-45 berkata, tiga tonggak utama yang akan memacu hala tuju rel ASEAN ialah pembangunan modal insan strategik, penerapan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi mobiliti lestari serta mempercepatkan pendigitalan operasi.

“Dengan menyelaras metrik ESG, melabur dalam tenaga boleh diperbaharui dan mengalihkan kargo dari jalan raya ke rel, kita mampu melindungi bumi selain menarik pelaburan global. 

“Persidangan ARCEOs’ ke-45 yang menghimpunkan pemimpin industri rel serantau ini berlangsung selama beberapa hari dengan pelbagai sesi teknikal, forum panel dan pameran, bagi merangka kerangka tindakan memperkukuh ketersambungan rel ASEAN,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, penganjuran Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi ASEAN (ARCEOs’) ke-45 menjadi kesinambungan penting kepada agenda Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Beliau berkata, persidangan itu sejajar dengan peranan kepimpinan negara dalam memperkukuh perpaduan, menggalakkan inovasi dan memperluas kerjasama serantau.

“Pertemuan ARCEOs’ ini membuktikan cita-cita bersama ASEAN dan dedikasi Malaysia untuk memastikan sektor kereta api kekal berada di barisan hadapan kemajuan, inovasi dan kerjasama serantau,” katanya.

Menurutnya, sektor kereta api semakin penting dalam mentakrif semula hala tuju ASEAN, termasuk mengintegrasikan ekonomi, menghubungkan masyarakat serta memacu penyelesaian pengangkutan mesra alam.

Katanya, persidangan itu juga mencerminkan usaha bersama negara anggota membangunkan sistem pengangkutan moden yang mampan, selain membuka ruang dialog kolaboratif dan pertukaran idea.

“Pembangunan infrastruktur kereta api bertaraf dunia bukan sekadar pencapaian logistik, tetapi turut mengukuhkan daya tahan ekonomi, mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan global serta memperkukuh pengaruh ASEAN di peringkat antarabangsa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN