Allianz Malaysia tawar PerlindunganKu Allianz4All, sokong PTV 3.0 kerajaan - Utusan Malaysia

Allianz Malaysia tawar PerlindunganKu Allianz4All, sokong PTV 3.0 kerajaan

SEAN WANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) menawarkan Perlindunganku Allianz4All, sebuah produk perlindungan menyeluruh dengan premium mampu milik yang kini lebih mudah diakses melalui program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) 3.0, sekali gus menyokong usaha kerajaan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, perlindunganku Allianz4All bertujuan memberikan perlindungan individu merangkumi pelbagai aspek seperti kemalangan peribadi, perubatan dan bantuan kecemasan, bagi memastikan keselamatan kewangan sekiranya berlaku kejadian yang tidak dijangka.

“Dengan penebusan baucar PTV3.0, pelan tersebut boleh dibeli dengan premium tahunan serendah RM24, selaras usaha kerajaan memperkukuhkan perlindungan sosial terutamanya bagi isi rumah berpendapatan rendah.

“Kami komited dalam menyokong inisiatif kerajaan dalam menyediakan keselamatan kewangan kepada semua rakyat Malaysia yang layak melalui program PTV3.0.

“Perlindunganku Allianz4All direka untuk menawarkan perlindungan terbaik pada waktu yang diperlukan dengan premium berpatutan, demi ketenangan fikiran anda dan orang tersayang,” katanya dalam kenyataan.

Program PTV3.0 tersedia untuk dua juta penerima layak Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berdasarkan siapa cepat dia dapat dan tempoh penebusan berlangsung dari 1 September hingga 31 Disember 2025.

Selain itu, di bawah program PTV3.0, penerima STR boleh menebus baucar RM30 yang disubsidi oleh kerajaan untuk membantu mereka membeli produk insurans atau takaful yang ringkas dan mampu milik.

Allianz memperkenalkan Perlindunganku Allianz4All dengan dua pilihan pelan mampu milik.

Pelan 1 menawarkan perlindungan sehingga RM30,000 bagi kematian atau hilang upaya kekal akibat kemalangan, elaun hospital RM50 sehari (maksimum 30 hari) di hospital kerajaan, serta perbelanjaan perubatan sehingga RM500. Ia turut disediakan bantuan kecemasan RM500 bagi pemindahan ketika banjir.

Premium tahunan RM54 termasuk SST, dimana penerima STR hanya perlu bayar tambahan RM24 daripada baucar PTV.

Sementara itu, bagi Pelan 2 pula menyediakan perlindungan sehingga RM50,000, elaun hospital RM100 sehari, perbelanjaan perubatan sehingga RM750 dan bantuan banjir RM750.

Premium tahunan RM81, di mana penerima STR hanya bayar tambahan RM51 daripada baucar PTV.

Sean Wang berkata, ciri unik Perlindunganku Allianz4All ialah peruntukan 53.5 peratus daripada premium secara langsung kepada Dana Peruntukan Tuntutan (CAF), yang digunakan untuk membayar tuntutan.

“Lebihan daripada CAF akan disalurkan kepada tujuan kebajikan, manakala baki premium diperuntukkan kepada Allianz General untuk yuran pengurusan.

“Selain itu, premium yang dibayar akan disimpan dalam akaun bank Islam, dengan pelaburan yang selaras dengan prinsip Kewangan Islam,” ujarnya.

Pengagihan lebihan daripada pemegang polisi yang menggunakan PTV3.0 akan berbeza daripada pemegang polisi yang membayar sendiri, selaras spesifikasi PTV3.0, di mana sebahagian daripada lebihan CAF akan diagihkan kepada kerajaan.

Pada 2024, Allianz Malaysia melalui anak syarikatnya, Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad telah mengagihkan lebihan sebanyak RM219,148 daripada CAF untuk tujuan kebajikan, hasil sumbangan daripada Perlindunganku Allianz4All dan Group Personal Accident Allianz4All. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN