PETALING JAYA: Advancecon Holdings Berhad melalui anak syarikatnya, Advancecon Infra Sdn. Bhd. (AISB) menerima kontrak pembinaan serta kerja tanah bagi Pakej 1 Fasa 1 di Southern Ibrahim Technopolis (IBTEC) di Kulai, Johor bernilai RM66.9 juta
Kontrak yang diperoleh daripada JLG Technopark Sdn. Bhd. merupakan projek pembangunan perbandaran utama seluas 2,950.2 hektar di Sedenak dan ditetapkan sebagai zon perdana keenam (Zon F) Iskandar Malaysia sejak 2021.
Ia juga sebahagian daripada rancangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka menjadi pemacu pelaburan rentas sempadan, pembangunan digital serta bandar yang mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon, Datuk Phum Ang Kia berkata, pihaknya berbangga untuk menyumbang kepada kerja asas IBTEC, sebuah perbandaran strategik dalam JS-SEZ yang melambangkan aspirasi pertumbuhan Johor.
“Projek ini bukan sahaja meningkatkan kehadiran kami di Johor tetapi juga sejajar dengan komitmen kami untuk membina infrastruktur yang menyokong pembangunan ekonomi, ketersambungan jangka panjang dan kemampanan,” katanya dalam kenyataan.
Memandang ke hadapan, beliau berkata, Advancecon kekal komited untuk memanfaatkan kecekapan terasnya dalam kerja tanah, kuari, pembinaan dan tenaga boleh diperbaharui.
Jelasnya, ini bagi meletakkan dirinya sebagai rakan kongsi pilihan dalam landskap pembangunan infrastruktur dan perbandaran Malaysia yang berkembang pesat.
Perolehan terbaharu ini mengukuhkan lagi jejak Advancecon di Johor iaitu Advancecon telah membina reputasi sebagai rakan kongsi kerja tanah dan kejuruteraan awam yang dipercayai.
Projek itu juga mewakili peluang bagi Advancecon untuk mengambil bahagian dalam peringkat pembangunan awal sebagai satu daripada inisiatif perbandaran dan zon ekonomi yang paling bercita-cita tinggi di Malaysia. – UTUSAN










