MENU pencuci mulut, laicikang keluaran DFaqih Kitchen yang sering dipesan di sebuah restoran suatu ketika dahulu kini berkembang menjadi produk minuman siap saji yang mendapat permintaan di seluruh negara.
Pemilik DFaqih Kitchen, Roselinda Nurul Shuhada Mohd Amin, 50, berkata, perniagaan Laicikang DFaqih sedia untuk dimakan dan dimasak bermula secara tidak sengaja ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menutup operasi Restoran Asam Pedas DTaman miliknya.
Ujarnya, sebelum berkecimpung dalam dunia perniagaan, dia pernah bekerja sebagai penolong jurutera di Singapura selama 15 tahun.
“Sepanjang tempoh itu, saya mengumpul wang untuk merealisasikan impian memiliki perniagaan sendiri.
“Selepas berpindah ke Selangor bersama suami, simpanan tersebut digunakan untuk membuka restoran Asam Pedas DTaman yang menjadi titik mula perjalanan perniagaan saya.
“Walaupun kami perlu tutup sementara semasa PKP, ia tidak mematahkan semangat saya namun saya diuji sekali lagi apabila restoran dipaksa tutup sepenuhnya pada 2023 kerana tapak perniagaan diambil semula oleh Pejabat Tanah.
“Lebih memilukan, penutupan itu berlaku kerana ditipu oleh tuan tanah yang memberi janji palsu mengenai status pajakan dan pemilikan premis tersebut.
“Saya kehilangan hak untuk terus beroperasi walaupun telah melabur banyak masa dan wang untuk mengusahakannya.
“Jadi, saya ikhtiar dengan membuat kaji selidik kepada pelanggan. Hasilnya, 45 peratus kata mereka rindukan laicikang. Oleh kerana bahan mentah mudah dibeli waktu itu, saya mula bungkus bahan keringnya dan jual dan berjaya mendapat sambutan luar biasa dari pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Produk Laicikang DFaqih kini beroperasi dari premis di Sungai Choh, Rawang sejak dua tahun lalu dengan rangkaian ejen dan stokis di Melaka, Johor, Terengganu, Kelantan dan Perak.
Jualan runcit dilakukan di premis, melalui Shopee dan tempahan terus pelanggan.
Dari segi pencapaian, keuntungan tahunan meningkat daripada RM102,000 pada 2023 kepada RM190,000 pada 2024.
Malah, rekod itu berjaya diatasi dalam tempoh tujuh bulan pertama 2025.
“Saya teruja apabila permintaan untuk laicikang ini sentiasa tinggi dalam kalangan pelanggan. Sambutan yang diberikan benar-benar di luar jangkaan.
“Hanya dalam tempoh tiga minggu selepas bermula, saya sudah mampu mencatat keuntungan sehingga RM4,000. Jadi, untuk tahun ini saya menetapkan sasaran jualan sebanyak RM200,000,” katanya.
Mengulas mengenai keunikan produknya, Roselinda berkata, laicikang ini dibuat bagi memudahkan dan tidak mengambil masa yang lama untuk disediakan.
Menurutnya, terdapat beberapa bahan yang asal perlu ditukar bagi memastikan ia boleh menjadi minuman yang sedia untuk dimasak dan diminum.
“Keunikan Laicikang DFaqih ialah ia tak perlu direbus. Hanya tuang air panas, boleh terus dihidang panas atau sejuk. Kami juga tidak guna gula pasir, sebaliknya gula batu dan gula LuoHan yang beri rasa manis buah longan dan aroma unik,” jelasnya.
Roselinda berkata, sambutan pelanggan semakin memberangsangkan selepas memperoleh sijil halal, malah produk berkenaan mendapat peluang untuk diperkenalkan di pasaran luar negara melalui agensi tertentu. – UTUSAN










