UOB sokong Program MTN Hijau ASEAN bernilai RM3 bilion

UOB sokong Program MTN Hijau ASEAN bernilai RM3 bilion

NG Wei Wei (kiri) bersama Teo Chiang Hong pada majlis menandatangani dan pelancaran Program Nota Jangka Sederhana Hijau ASEAN (Program MTN Hijau ASEAN) bernilai RM3.0 bilion.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UOB Malaysia menyokong pelancaran Program Nota Jangka Sederhana Hijau ASEAN (Program MTN Hijau ASEAN) bernilai RM3.0 bilion oleh FMM House Sdn. Bhd, (FMM House), inisiatif penting yang menggalakkan pembangunan mampan dalam sektor infrastruktur logistik Malaysia. 

Bank bertindak sebagai penasihat utama, penyusun utama, pengurus utama dan ejen kemudahan untuk program ini, sekali gus mengukuhkan komitmennya terhadap pembiayaan hijau dan inovasi dalam pasaran modal.

Hasil daripada siri terbitan di bawah Tranche 1 Program MTN Hijau ASEAN yang mempunyai tempoh 15 tahun dan jumlah saiz terbitan sehingga RM630 juta akan digunakan untuk membangun tiga hab logistik hijau FMM House di Pulau Indah, Klang, Selangor. 

Program MTN Hijau ASEAN ini membolehkan penerbitan berbilang peringkat bagi menyokong projek infrastruktur logistik berkelayakan FMM House yang akan datang. 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pihaknya berbangga menyokong pelancaran Program MTN Hijau ASEAN FMM House. 

“Sememangnya, ini menunjukkan komitmen bersama kami sebagai rakan kongsi yang sehaluan dalam menempa masa depan yang mampan.

“Ia juga merupakan projek hab logistik hijau kedua kami di Selangor berikutan sokongan kami sebelum ini terhadap Global Vision Logistics, pembangunan logistik diperakui hijau yang pertama di Malaysia dan antara yang terbesar di ASEAN. 

“Inisiatif ini dibina atas usaha berterusan UOB Malaysia dalam memperkenalkan inovasi dan membangunkan penyelesaian yang berkesan bagimembantu pelanggan dalam usaha penyahkarbonan mereka,” katanya dalam kenyataan. 

Melalui Rangka Kerja Kewangan Mampan, syarikat mengekalkan tumpuan dalam mendayakan perniagaan menerima pakai amalan bertanggungjawab dan beralih ke infrastruktur rendah karbon yang sedia hadapi masa hadapan.

Pembangunan logistik FMM House di Pulau Indah akan menampilkan sistem penyimpanan gudang secara automatik yang mempunyai gabungan keluasan lantai kasar kira-kira 1.67 juta kaki persegi dan kapasiti penyimpanan sekitar 218,000 palet. 

Pembangunan ini, yang mempunyai kemudahan bilik ambien dan sejuk, memiliki Status Emas yang diperakui di bawah Kepimpinan dalam Tenaga dan Reka Bentuk Alam Sekitar (LEED), sistem penarafan bangunan hijau yang diiktiraf secara global oleh Majlis Bangunan Hijau Amerika Syarikat, justeru menunjukkan komitmen FMM House terhadap pembangunan mampan. 

Pembangunan logistik akan dikendalikan sepenuhnya oleh Storio Sdn. Bhd., pakar dalam penyelesaian pergudangan dan logistik pintar. 

Pengarah FMM House Sdn. Bhd., Tan Sri Teo Chiang Hong menambah, program ini merupakan peristiwa bersejarah dalam perjalanan syarikat untuk mentakrif semula infrastruktur logistik melalui automasi dan kemampanan.

“Dengan sokongan UOB Malaysia, kami yakin dapat menyampaikan pembangunan berimpak tinggi yang memenuhi piawaian hijau global serta memacu nilai jangka panjang untuk pemegang berkepentingan kami,” katanya.  

Ditubuhkan pada April 2022, FMM House adalah sebuah syarikat pelaburan yang menumpu pada pembangunan hartanah perindustrian, dengan penekanan khusus terhadap teknologi pergudangan automatik yang meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan pergantungan pada buruh kasar. 

Rangka Kerja MTN Hijau ASEAN FMM House menerima Penarafan Kewangan Mampan Emas daripada RAM Sustainability, menunjukkan komitmen kukuh syarikat terhadap prinsip kemampanan dan penjajaran dengan piawaian kewangan hijau serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN