PETALING JAYA: Radium Development Berhad (Radium) melaporkan pertumbuhan untung bersih sebanyak RM785 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM489 juta yang direkodkan bagi suku sama tahun sebelumnya.
Bagi suku tersebut, kumpulan melaporkan hasil sebanyak RM42.6 juta, mewakili peningkatan 39.2 peratus berbanding RM30.6 juta pada suku sama 2024.
Menurut kenyataannya, prestasi bagi tempoh tersebut didorong terutamanya oleh kemajuan dalam beberapa pembangunan hartanah yang sedang berjalan, termasuk Suite Canselor @ Ampang, Vista Adesa, Radium Adesa @ Sungai Besi dan Radium Arena @ Old Klang Road.
Pada akhir suku yang dilaporkan, Radium mengekalkan kedudukan tunai RM112.4 juta dan nisbah penggearan kasar sebanyak 0.56 kali, berdasarkan dana pemegang saham sebanyak RM770.3 juta.
Saluran hasil kumpulan terus disokong oleh portfolio projek aktifnya termasuk Vista Adesa dan Radium Adesa di Sungai Besi (terdiri daripada Residensi Wilayah dan pangsapuri suite) membawa anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 bilion.
“Radium Arena di Jalan Klang Lama yang dilancarkan baru-baru ini dengan 988 pangsapuri suite dan anggaran GDV sebanyak RM524 juta telah menarik minat pasaran yang stabil.
“Tambahan pula, usaha sama di Kepong yang dijadualkan dilancarkan pada suku keempat 2025 dijangka menyumbang anggaran GDV sebanyak RM400 juta.
“Pengambilalihan baru-baru ini telah mengukuhkan lagi bank tanah Radium, khususnya di Cheras, Kuala Lumpur dan Ampang, Selangor, dengan potensi GDV masing-masing sebanyak RM2.54 bilion dan RM470 juta,” katanya.
Radium berkata, sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mempelbagaikan aliran hasil, kumpulan telah mengumumkan cadangan pengembangan ke dalam penjagaan kesihatan melalui anak syarikat milik penuh.
Tambahnya, projek awal melibatkan pembangunan terancang sebuah hospital di Melaka, direka untuk mewujudkan aliran pendapatan berulang di samping perniagaan pembangunan hartanah kumpulan.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Gary Gan Kah Siong berkata, prestasi suku kedua kumpulan menunjukkan permintaan yang mampan untuk pembangunannya dan mencerminkan keberkesanan inisiatif strategik kami yang berterusan.
“Hospital yang dicadangkan di Melaka mewakili langkah bermakna dalam strategi kepelbagaian Radium, menyokong objektif kami untuk membina perniagaan yang berdaya tahan dan mampan untuk jangka panjang.
“Radium kekal komited untuk mengembangkan jejaknya di lokasi utama di seluruh Lembah Klang, mengejar peluang komersial yang saling melengkapi dan mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemat,” jelasnya. – UTUSAN