Tingkatan 6: Isu perjawatan guru, lokasi antara dibincang

Tingkatan 6: Isu perjawatan guru, lokasi antara dibincang

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu perjawatan guru antara perkara yang akan diteliti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam perbincangan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung pelaksanaan Tingkatan Enam yang bakal diletakkan di bawah kendalian KPT sebelum dilaksanakan sepenuhnya tahun hadapan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, isu ber­kenaan amat penting bagi memastikan kebajikan dan pera­nan pendidik terlibat terus ter­pelihara selari dengan perubahan struktur pengurusan tingkatan enam.

Selain itu, beliau berkata, aspek pengoperasian turut menjadi tumpuan utama, khususnya melibatkan kesesuaian lokasi pengajian dan kemudahan pembelajaran pelajar terlibat.

“Ini termasuk keselarasan silibus agar seiring dengan ke­perluan pendidikan prauniversiti dan hala tuju pendidikan tinggi negara.

“Langkah awal itu penting bagi memastikan pelaksanaan tingkatan enam di bawah KPT dapat dilaksanakan secara tersusun, berfasa dan memberi manfaat maksimum kepada pelajar bermula tahun depan,” katanya di sini.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, KPT akan mengambil alih keseluruhan sistem prauniversiti atau tingkatan enam dan matrikulasi bermula tahun depan.

Pelajar yang akan mengikuti sistem pendidikan berkenaan akan mula memasuki kategori pendidikan tinggi di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

Sebelum ini, Zambry menjelaskan, beberapa perubahan akta dan undang-undang diperlukan sebelum tingkatan enam dan matrikulasi di ambil alih sepenuhnya di bawah KPT.

KPM pada tahun lalu melaksanakan projek rintis program tingkatan enam di universiti dengan seramai 160 pelajar dipilih menyertai kemasukan pertama Program Pendidikan Tingkatan Enam bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ditempatkan di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan 60 orang di Universiti Sains Malaysia (USM).

Antara syarat untuk diterima bagi kemasukan projek rintis itu ialah memperoleh A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, sekurang-kurangnya 5A dalam SPM dan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan, dan Kokurikulum (PAJSK) 80 dan ke atas.

Mengikut rekod, seramai 62,729 calon lepasan SPM 2024 memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tingkatan enam/STPM bagi sesi 2025.

Angka ini adalah daripada kira-kira 80,666 pelajar yang setuju menerima tawaran, manakala jumlah keseluruhan calon ditawarkan ialah 252,082 orang.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×