Unjuran KDNK RMK13 realistik, perlu imbangi pelaburan

Unjuran KDNK RMK13 realistik, perlu imbangi pelaburan asing dan domestik

KERAJAAN mengunjurkan pertumbuhan KDNK antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun bagi tempoh RMK13.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) adalah  optimistik dan masih dalam jangkauan, selagi dasar ekonomi negara dilaksanakan secara berkesan dan responsif.

Bagaimanapun, semakan un­juran oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 28 Julai lalu kepada julat 4.0 hingga 4.8 peratus bagi 2025 mencerminkan pendekatan lebih berhati-hati dalam mendepani cabaran ekonomi global yang kian mencengkam.

Pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, unjuran tersebut kekal realistik berdasarkan fasa pemulihan ekonomi yang sedang berlaku ketika ini.

“Kita berada dalam pusingan menaik. Sasaran itu konservatif dan boleh dicapai. Namun, ia memerlukan pertumbuhan yang seimbang antara pelaburan asing dan pelaburan domestik. 

“Jika hanya bergantung kepada pelaburan asing, memang pertumbuhan akan berlaku, tetapi jurang kekayaan dan pendapatan akan terus melebar,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, pertumbuhan KDNK bagi tempoh RMK13 disasarkan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sasaran tersebut diterajui oleh permintaan domestik, terutama penggunaan dan pelaburan swasta. 

Anwar berkata, eksport kasar negara dijangka meningkat sebanyak 5.8 peratus setahun dengan peluang perdagangan yang lebih luas. 

Sementara itu,  Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya. Dr. Norlin Khalid berkata, ketegangan geopolitik, ketidaktentuan dasar perdagangan serta risiko perang tarif merupakan antara faktor luaran yang boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi terbuka seperti Malaysia.

“Meskipun begitu, asas ekonomi negara kekal kukuh. Gabenor BNM menegaskan prestasi ekonomi masih berada pada landasan sihat, disokong oleh inflasi terkawal, permintaan domestik stabil, serta pasaran pekerjaan yang terus berkembang. 

“Keadaan ini menyediakan ruang dasar yang cukup untuk kerajaan meneruskan agenda pembaharuan struktur, termasuk pelaksanaan subsidi bersasar dan pelaburan dalam projek pembangunan berimpak tinggi.

“Sekiranya momentum pelaburan ini dapat dikekalkan, di samping dasar fiskal dan monetari yang responsif, sasaran asal pertumbuhan seperti yang dinyatakan dalam RMK13 masih berpeluang untuk dicapai dalam jangka sederhana. 

“Walau bagaimanapun, kejayaan tersebut sangat bergantung kepada tahap kecekapan pelaksanaan dasar serta keupayaan kerajaan untuk menyesuaikan strategi secara proaktif dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi global yang semakin kompleks,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN