PETALING JAYA: Titan Company Limited, pengeluar jam tangan kelima terbesar di dunia dan sebahagian daripada Kumpulan Tata di India, melancarkan lembaran baharu di Malaysia melalui kerjasama strategik dengan Marco Worldwide Sdn. Bhd.
Pelancaran itu menandakan komitmen Titan untuk memperkukuh kehadiran di rantau Asia Tenggara dengan Malaysia sebagai pintu masuk penting bagi pengembangan jenama tersebut.
Ketua Perniagaannya, Gaurav Midha berkata, langkah itu dibuat seiring dengan permintaan pengguna tempatan terhadap aksesori bergaya yang mampu milik serta berkualiti.
“Malaysia adalah pasaran yang dinamik dengan pengguna yang unik dan kelas pertengahan yang semakin berkembang.
“Mereka menghargai ketukangan atau craftsmanship yang bermutu. Inilah faktor besar yang menjadikan Malaysia destinasi strategik buat Titan,” katanya semasa majlis memeterai kerjasama strategik antara Titan Company Limited dan Marco Worldwide.
Majlis pelancaran itu turut menyaksikan acara menandatangani rasmi antara Titan dan Marco Worldwide, sekali gus mengukuhkan keyakinan syarikat untuk menembusi pasaran tempatan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Marco Worldwide, SJ Ong berkata, kerjasama itu bakal mengubah landskap industri jam tangan di Malaysia.
“Jam tangan hari ini bukan sekadar penunjuk masa, sebaliknya ia menjadi lambang personaliti seseorang. Dengan legasi global Titan dan pengalaman Marco Worldwide dalam perdagangan tempatan, kami yakin jenama ini mampu meninggalkan impak besar,” ujarnya.
Sebagai meraikan pelancaran tersebut, satu pertunjukan fesyen dengan kerjasama jenama tempatan Inisaya telah diadakan, menampilkan koleksi utama Titan termasuk Edge, Raga, Titan Automatics dan Titan Stellar.
Koleksi Edge yang dikenali dengan teknologi “ultra-thin” pernah memenangi Red Dot Design Award, manakala Raga menyerlahkan gaya feminin yang anggun.
Titan Automatics pula menonjolkan keindahan mekanikal dengan rekaan dail terbuka, manakala Stellar diinspirasikan daripada elemen angkasa dengan penggunaan bahan eksklusif.
Reputasi Titan di peringkat antarabangsa telah diiktiraf melalui pelbagai anugerah, termasuk pencalonan di Grand Prix Horlogerie de Genève (GPHG) 2024.
Tambah Gaurav, Titan berhasrat untuk memperkenalkan lebih banyak koleksi baharu ke Malaysia selepas ini, dengan fokus pada gabungan pertukangan klasik dan gaya kontemporari.
“Kami mahu menjadikan Titan bukan sahaja pilihan fesyen, tetapi juga sebahagian daripada gaya hidup masyarakat Malaysia,” tambahnya. -UTUSAN