PENUAAN penduduk bukan sekadar isu demografi, tetapi merupakan cabaran ekonomi dan sosial yang perlu diurus dengan strategi yang berkesan supaya tidak membawa kesan jangka panjang terhadap daya saing dan kelestarian ekonomi negara.
Malaysia perlu bergerak pantas, bukan hanya menerima hakikat menjadi negara menua, tetapi bersedia menjadi negara yang menua secara bijak dan berdaya tahan ekonomi.
Peralihan serta meningkatkan usaha ke arah automasi dan menarik pelaburan bernilai tinggi dilihat sebagai antara cara yang boleh memastikan negara ini tumbuh dengan mampan walaupun berdepan demografi penuaan dalam kalangan penduduk.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, menyedari masalah tenaga kerja, sektor pembuatan dijangka akan terus mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dan seterusnya beralih kepada automasi.
Katanya, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menekankan peningkatan nilai tambah sektor pembuatan dan menggunakan peluang pasaran global dengan meluaskan skop eksport yang dihasilkan.
“Kerajaan juga menumpukan kepada usaha menarik pelaburan asing (FDI) kepada pembuatan bernilai tinggi, terutamanya sektor elektrik dan elektronik (E&E).
“Walau bagaimanapun, kedua-dua sektor pertanian dan pembuatan mengalami cabaran semasa dari aspek guna tenaga buruh rakyat Malaysia, transformasi bergantung dengan signifikan kepada teknologi yang diguna pakai,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Beliau berkata, sektor pembuatan dan pertanian sedang mengalami perubahan itudengan kebergantungan kepada pekerja asing adalah sangat tinggi ketika ini.
Jelasnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) pada 2023 melaporkan bahawa sektor ini memerlukan lebih 186,000 tenaga kerja warga asing dalam sektor pertanian di seluruh negara.
“Walaupun ia bersifat sementara tetapi negara menghadapi masalah untuk menarik golongan muda dan mengadaptasi penggunaan teknologi secara meluas bagi mengelakkan pergantungan ini.
“Dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), kerajaan memberikan penekanan kepada kecerdasan buatan (AI) untuk menjadi antara solusi kepada masalah guna tenaga di Malaysia.
“Pemerkasaan sektor pertanian dan agromakanan menerusi RMK13 memberi harapan baharu buat para petani, pesawah dan usahawan tani,” jelasnya.
Sementara itu, Felo Kanan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr. Madeline Berma berkata, negara menua boleh mempengaruhi serta menurunkan produktiviti dalam negara.
“Apabila bilangan warga tua bertambah, ia akan menyebabkan pengurangan dalam kadar penyertaan tenaga buruh dan menurunkan produktiviti
“Selain itu, ia juga akan meningkatkan perbelanjaan awam untuk penjagaan kesihatan dan keselamatan sosial.
“Peningkatan dalam Nisbah Pergantungan Warga Tua (OADR) memberi tekanan kepada pembiayaan awam, apabila perbelanjaan untuk pencen dan penjagaan warga tua semakin meningkat, tetapi hasil cukai semakin berkurangan disebabkan pengurangan tenaga kerja,” jelasnya.
Mengulas mengenai cara untuk mengekalkan saiz tenaga kerja meskipun kadar kelahiran rendah, beliau berkata, kerajaan boleh memberi kelonggaran dalam pasaran buruh termasuk membenarkan secara sementara pekerja mahir dan separa mahir bekerja di Malaysia.
“Selain itu, kita juga boleh meningkatkan produktiviti dan kemahiran buruh yang sedia ada melalui upskilling, reskilling.
“Kita juga perlu beralih dari pengeluaran berintensif buruh ke pengeluaran berintensif teknologi,” tambahnya.- UTUSAN