PETALING JAYA: Tanjung Bruas Port Sdn. Bhd. (Tanjung Bruas Port) menganjurkan Program Pembersihan Pantai dan Sambutan Merdeka di kawasan pelabuhan dan pesisir pantai Kampung Balik Bukit, Melaka.
Program itu adalah sempena memperingati Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68 dan berjaya menghimpunkan lebih 120 peserta yang terdiri daripada agensi kerajaan, pelajar dan pensyarah Politeknik Melaka, kakitangan Tanjung Bruas Port serta penduduk setempat.
Ketua Syarikat Tanjung Bruas Port, Khairul Anuar berkata, program berteraskan komuniti seperti itu sangat penting buat Tanjung Bruas Port kerana ia memberi impak positif secara langsung kepada penduduk setempat.
“la juga melambangkan komitmen berterusan kami dalam menyokong komuniti, meningkatkan kesejahteraan dan mengeratkan hubungan dengan masyarakat sekitar,” katanya dalam kenyataan.
Program tersebut bukan sahaja bertujuan membersihkan kira-kira dua kilometer kawasan pantai, tetapi juga untuk menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68.
la juga menjadi platform mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak pengurusan pelabuhan dan komuniti setempat.
Sementara itu, ADUN Pantai Kundur, Tuminah Kadi memuji komitmen Tanjung Bruas Port dalam menganjurkan program sebegini yang disifatkan sebagai sumbangan bernilai kepada masyarakat.
“Usaha ini bukan sahaja memelihara alam sekitar pantai, malah mengeratkan hubungan antara pelabuhan dan penduduk setempat.
“la juga meningkatkan kesedaran alam sekitar, memupuk perpaduan serta menyemai rasa dalam menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran,” katanya.
Tanjung Bruas Port berharap inisiatif itu akan menjadi batu loncatan kepada lebih banyak usaha pemeliharaan alam sekitar, menggalakkan semangat patriotisme dan memperkukuh perpaduan.
Setakat ini, Tanjung Bruas Port telah melaksanakan empat program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan jumlah peruntukan hampir RM40,000.00, di mana sebahagian besar daripadanya memberi manfaat secara langsung kepada komuniti Kampung Balik Bukit.
Tanjung Bruas Port turut komited terus memainkan peranan aktif bukan sahaja dalam memajukan operasi pelabuhan, tetapi juga dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat demi kemajuan bersama yang mampan. – UTUSAN