PETALING JAYA: Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM287 juta pada separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM286.9 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.
Bagi tempoh sama, pendapatan syarikat meningkat sembilan peratus kepada RM1.85 bilion berbanding RM1.69 bilion pada tempoh sama tahun lalu
Peningkatan itu didorong oleh momentum kukuh segmen takaful keluarga serta pertumbuhan berterusan perniagaan kredit.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, pencapaian konsisten syarikat itu mencerminkan keberkesanan strategi yang dilaksanakan meskipun berdepan pasaran mencabar dan kompetitif.
“Kami kekal fokus terhadap pertumbuhan mampan, meningkatkan nilai untuk pelanggan serta mengukuhkan kedudukan dalam industri takaful,” katanya dalam kenyataan.
Segmen takaful keluarga menyumbang RM1.09 bilion, meningkat 18 peratus berbanding RM929.2 juta tahun lalu, didorong jumlah caruman perlindungan yang lebih tinggi.
Namun, perniagaan takaful am mencatat sedikit penurunan kepada RM694.6 juta berbanding RM716.7 juta sebelum ini, berikutan sumbangan lebih rendah daripada segmen kebakaran.
Mengulas lanjut, Nor Azman berkata, prestasi syarikat dipacu oleh portfolio teras yang merangkumi bankatakaful, perbendaharaan, faedah pekerja dan takaful am, selain sokongan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perlindungan kewangan.
“Platform digital Kaotim turut menyumbang kepada pertumbuhan positif dengan memperluas capaian melalui penawaran pelan perlindungan dalam talian yang mampu milik.
“Kami sedang mempergiatkan usaha dalam segmen runcit dengan menyediakan akses lebih luas kepada penyelesaian perlindungan patuh syariah yang menyeluruh serta berdaya saing,” ujarnya.
Tambah beliau, seiring komitmen terhadap agenda kelestarian, Takaful Malaysia turut menekankan aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui inisiatif seperti meningkatkan daya tahan terhadap risiko iklim, mengamalkan pendekatan mesra alam, pelaburan beretika serta program pembangunan komuniti inklusif.
“Dengan asas perniagaan yang kukuh, kami yakin dapat mengekalkan prestasi memberangsangkan bagi baki tahun ini. Inovasi berteraskan pelanggan, pemerkasaan digital dan integrasi ESG kekal menjadi tonggak strategi kami,” tambahnya. – UTUSAN










