PETALING JAYA: Pemaju hartanah, Sime Darby Property Bhd. sedang berbincang dengan beberapa bank untuk mendapatkan pinjaman sehingga RM3 bilion (AS$714 juta) bagi membiayai pembinaan pusat data yang akan disewakan kepada Google, menurut laporan Bloomberg.
Menurut sumber, pinjaman yang dicadangkan itu dijangka mempunyai tempoh matang selama lima tahun dan dilengkapi dengan pilihan lanjutan sehingga dua tahun.
“Perbincangan masih berlangsung dan butiran lanjut mungkin berubah,” katanya.
Bagaimanapun, laporan itu memberitahu, Sime Darby Property tidak memberikan sebarang maklum balas untuk ketika dihubungi.
Sime Darby Property, sebahagian daripada syarikat multinasional terbesar di Malaysia, sedang giat mengembangkan kehadirannya dalam sektor pusat data bagi memenuhi permintaan yang melonjak dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Fenomena AI ini telah mendorong permintaan tinggi untuk pembiayaan pusat data di Asia, yang menyaksikan beberapa pinjaman bernilai rekod kepada pengendali industri.
Bridge Data Centres yang dimiliki oleh Bain Capital memperoleh kemudahan pinjaman berjumlah AS$2.8 bilion awal tahun ini bagi operasinya di Malaysia.
Pada 2024, Google mengumumkan rancangan untuk membina pusat data di Taman Perniagaan Elmina milik Sime Darby berhampiran ibu negara Malaysia, sebagai sebahagian daripada pelaburan bernilai AS$2 bilion. – UTUSAN