KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Kerjasama & Pembangunan Teknologi ASEAN 2025 menyasarkan untuk menjana pelaburan bernilai RM200 juta khusus dalam inovasi dan pembangunan teknologi.
Dianjurkan oleh Intrinsic SEA sebagai acara sampingan utama WE2025: Future in Motion, sidang itu akan berlangsung pada 25 dan 26 November ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Lebih 100 syarikat, 50 pelabur global dan 2,000 inovator dari ASEAN, China, Kanada, Eropah, Jepun dan Australia dijangka hadir acara berkenaan yang bertujuan memperkukuh kerjasama teknologi rentas sempadan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, sidang kemuncak itu mencerminkan hasrat Malaysia untuk menerajui pembangunan teknologi dan pertumbuhan ekonomi inklusif di rantau ini.
“Ia menyokong misi MOSTI untuk membawa Malaysia beralih daripada pengguna teknologi kepada pembangun teknologi global menjelang 2030, selaras dengan keutamaan negara sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” katanya ketika merasmikan pra pelancaran sidang kemuncak tersebut di The Exchange 106, semalam.
Acara tersebut turut akan menampilkan lebih 100 reruai pameran teknologi canggih serta program tumpuan seperti pameran pelaburan dan startup ASEAN, sidang meja bulat menteri dan industri serta gala kepimpinan global.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Intrinsic SEA, Ravenna Chen, pihaknya menyasar untuk memacu kerjasama rentas sempadan yang mampu melahirkan pelaksanaan projek sebenar dan integrasi teknologi dalam rantaian nilai utama serantau.
“Kami mahu membentuk ekosistem ASEAN yang kompetitif dan berhubung secara global, selaras dengan Wawasan ASEAN 2045 dan ulang tahun ke-10 Komuniti ASEAN,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia, Richard Teo berkata, acara berkenaan akan terus mengekalkan komitmen kepada penyertaan wanita dalam sektor teknologi.
“Walaupun terbuka kepada semua, sidang kemuncak ini membawa semangat WE2025 yang memperjuangkan kepimpinan wanita dalam perdagangan, pelaburan dan inovasi teknologi.
“WE2025: Future in Motion merupakan inisiatif utama Malaysia dalam memperkasa wanita dalam ekonomi, dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Pembangunan Wanita,” katanya. – UTUSAN










