Sentimen global positif, Bursa Malaysia dijangka tembusi paras 1,600 mata

Sentimen global positif, Bursa Malaysia dijangka tembusi paras 1,600 mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka berupaya menembusi paras psikologi penting 1,600 mata dalam masa terdekat, dipacu oleh sentimen positif pasaran global dan jangkaan pelonggaran dasar monetari oleh bank pusat Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis. 

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, faktor luaran terus menjadi pemacu utama kepada pergerakan harga-harga saham di peringkat tempatan dan global. 

“Ketika ini, tumpuan utama pelabur adalah terhadap tindakan Federal Reserve (Fed) sama ada akan mengurangkan kadar faedah pada mesyuarat dasar monetarinya yang dijadualkan pada bulan September.

“Rata-rata peserta pasaran menjangkakan kadar faedah akan diturunkan sebanyak 25 mata asas. Jangkaan ini telah menyuntik sentimen positif dalam pasaran kerana kadar faedah yang lebih rendah akan mengurangkan kos pembiayaan syarikat-syarikat yang tersenarai serta isi rumah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Beliau menjelaskan, dasar monetari yang lebih mengembang dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan melalui peningkatan dalam aktiviti pelaburan, penggunaan swasta dan permintaan domestik. 

“Ini secara langsung mampu menyokong prestasi syarikat-syarikat tersenarai dan menyumbang kepada peningkatan keuntungan mereka,” katanya. 

Jelas Mohd. Afzanizam, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kini bergerak dalam aliran menaik sejak beberapa minggu kebelakangan ini, didorong oleh pembelian saham berwajaran tinggi dalam sektor perbankan, pembinaan dan tenaga. 

“Paras 1,600 mata dilihat sebagai halangan teknikal penting yang, jika berjaya ditembusi, boleh menarik minat pelabur institusi dan dana asing untuk kembali aktif dalam pasaran tempatan.

“Sekiranya jangkaan penurunan kadar faedah ini menjadi kenyataan, ia bukan sahaja mengukuhkan sentimen pelabur, tetapi juga memberikan ruang kepada syarikat untuk meningkatkan margin keuntungan melalui kos pembiayaan yang lebih rendah. Ini adalah faktor positif yang mampu melonjakkan indeks ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Namun begitu, beliau turut mengingatkan pasaran masih perlu berhati-hati terhadap beberapa risiko luaran seperti ketidaktentuan geopolitik, perubahan mendadak dalam data inflasi AS serta kemungkinan perubahan nada dasar Fed yang boleh menjejaskan jangkaan semasa.

“Dengan landskap pasaran yang kekal dinamik, para pelabur disarankan untuk terus memantau perkembangan antarabangsa dan membuat keputusan berdasarkan asas fundamental yang kukuh,” katanya.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Bursa Malaysia dijangka terus mencatatkan prestasi sedikit positif minggu ini, disokong oleh laporan kewangan suku tahunan syarikat-syarikat tersenarai yang menunjukkan peningkatan keuntungan memberangsangkan. 

Katanya, prestasi syarikat-syarikat utama seperti Maxis, Press Metal, Samling, YTL, Sime Darby Property dan Sunway menjadi petunjuk bahawa industri pembinaan dan telekomunikasi negara berada di landasan yang kukuh selari dengan pertumbuhan ekonomi domestik yang stabil.

“Data kewangan terkini mencerminkan kekuatan asas ekonomi tempatan, terutamanya dalam sektor pembinaan dan telekomunikasi. Sektor-sektor ini kini menjadi antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Namun begitu, beliau turut memberi amaran ketidaktentuan global terus membayangi sentimen pasaran, khususnya berkaitan dengan isu tarif perdagangan antarabangsa yang masih belum menemui penyelesaian.

“Tarif Trump yang diperkenalkan semula dan kini merangkumi kenaikan sehingga 300 peratus terhadap produk semikonduktor global menimbulkan kebimbangan. Persoalan utama adalah sama ada tarif ini akan turut melibatkan syarikat-syarikat dalam rantaian nilai industri semikonduktor Malaysia,” katanya.

Jika hal ini berlaku, ia bakal memberi impak yang signifikan bukan sahaja kepada sektor semikonduktor, tetapi juga kepada ekonomi negara secara keseluruhannya memandangkan industri tersebut merupakan antara penyumbang utama eksport dan pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia.

Aimi Zulhazmi menjangkakan pelabur akan kekal berhati-hati sementara menantikan perkembangan lanjut berkaitan polisi perdagangan global, di samping terus memantau laporan prestasi kewangan korporat tempatan yang dijangka memainkan peranan penting dalam menyokong pasaran dalam tempoh terdekat.-UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN