PETALING JAYA: Sektor pengguna terus menunjukkan ketahanan pada separuh pertama 2025, disokong oleh perbelanjaan runcit yang mantap dan pasaran buruh stabil, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, ia dibantu tekanan inflasi rendah dan momentum kukuh ini berterusan memasuki suku kedua tahun ini, dipacu sokongan fiskal disasarkan dan pemulihan aktiviti pelancongan.
Tambahnya, segmen jualan runcit di seluruh negara didapati semakin meningkat sebanyak 5.4 peratus tahun ke tahun kepada RM67.54 bilion pada Jun 2025, berbanding hanya kira-kira 4.9 peratus pada Mei 2025.
“Lonjakan ini didorong pertumbuhan menyeluruh dalam kategori kedai tidak khusus (5.7 peratus), makanan, minuman dan tembakau (6.5 peratus), serta kedai khusus yang lain (5.9 peratus), katanya dalam nota kajian.
Secara bulanan, jualan runcit naik 0.7 peratus meneruskan momentum pemulihan selepas penyusutan ringan pada April 2025 dan bagi separuh pertama 2025, jualan runcit terkumpul mencatat pertumbuhan kukuh.
la tambahnya, menyaksikan peningkatan sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun kepada RM399.6 bilion, mencerminkan keyakinan pengguna masih kekal tinggi meskipun perbelanjaan pasca perayaan telah normal kembali.
Pasaran buruh Malaysia kata MBSB Research, kekal kukuh dengan kadar pengangguran tidak berubah pada 3.0 peratus angka terendah dalam sedekad dengan pertumbuhan pekerjaan turut meningkat kepada 3.0 peratus tahun ke tahun.
“Keadaan tersebut sebenarnya melebihi kadar pertumbuhan tenaga buruh yang memasuki pasaran pekerjaan tempatan hanya 2.7 peratus tahun ke tahun mencerminkan penciptaan pekerjaan secara mampan,” katanya.
Jelas firma penyelidikan itu, situasi inflasi utama berdasarkan indeks harga pengguna (CPI) pula tambahnya, didapati mereda kepada 1.1 peratus tahun ke tahun pada Jun 2025, paras terendah sejak Mac 2021, manakala inflasi teras stabil pada 1.8 peratus tahun ke tahun.
MBSB Research berkata, gabungan faktor pasaran buruh yang ketat dan kadar inflasi rendah mengekalkan tahap kuasa beli isi rumah serta turut menyokong pertumbuhan penggunaan domestik di seluruh Malaysia.
la menjangkakan momentum runcit akan kekal stabil disokong oleh pelbagai inisiatif di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI, antaranya kenaikan gaji minimum dalam kalangan pekerja sektor swasta dan awam.
“Penguatkuasaan gaji kehidupan wajar untuk staf syarikat milik kerajaan, bantuan tunai RM100 kepada semua dewasa, harga petrol RON95 rendah serta penangguhan kenaikan tol turut membantu,” katanya.
Selain itu kata MBSB Research, suasana pembiayaan institusi kewangan juga lebih baik pasca pemotongan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia yang dijangka menyokong sentimen pengguna.
“Aeon kekal pilihan utama sektor ini dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) RM1.77, berikutan kedudukan defensif, fokus pasaran massa, dan sumbangan hasil stabil daripad pengurusan hartanah,” katanya.
Sementara itu kata firma tersebut, segmen pelancongan turut menunjukkan pemulihan kukuh apabila seramai 10.5 juta ketibaan pelancong dicatatkan dalam lima bulan pertama 2025, meningkat 10.5 peratus tahun ke tahun.
“Pertumbuhan positif dipacu oleh pertambahan kemasukan secara ketara pelawat dari negara-negara ASEAN (15.5 peratus tahun ke tahun) dan lonjakan pelancong China susulan dasar pengecualian visa,” katanya.
Malaysia katanya, yang kini memegang jawatan Pengerusi ASEAN 2025, juga meraih manfaat tambahan menerusi penganjuran pelbagai acara serantau, sekali gus berjaya merancakkan aliran pelancong asing.
Dengan sasaran seramai 31.4 juta pelancong sepanjang 2025 berada dalam jangkauan, sektor pelancongan kini menjadi pemacu penting kepada permintaan domestik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
MBSB Research menambah, pemulihan pelancongan diramal memberikan lonjakan struktur kepada perniagaan berorientasikan pengguna susulan peningkatan aliran pengunjung di pelbagai lokasi tumpuan.
“Ini termasuk peniaga di lapangan terbang, pusat beli-belah dan destinasi popular tumpuan pelancong bakal memacu permintaan terhadap produk pengguna, dan perkhidmatan makanan segera,” katanya.
Antara syarikat yang bakal meraih manfaat termasuk Life Water (beli, TP: RM1.00), dijangka merekod pertumbuhan volum lebih tinggi di Sabah berasaskan kekuatan jenama dan jaringan pengedaran syarikat.
Spritzer (neutral, TP: RM1.75) kata MBSB Research, diramal meraih manfaat peningkatan air botol di lokasi pelancongan Semenanjung, manakala Oriental Kopi (neutral, TP: 83 sen) popular di kawasan bandar.
Sementara QL Resources (neutral, TP: RM4.33), menerusi francais rangkaian kedai serbaneka jenama FamilyMart, bakal menerima lonjakan trafik permintaan mudah capai pelanggan di kawasan transit.
“Dengan prospek pelancongan cerah menjelang suku kedua dan ketiga 2025, sektor pengguna berada dalam kedudukan kukuh mencatat prestasi baik dalam tempoh mendatang,” katanya.-UTUSAN