PETALING JAYA: Sektor automotif diramal berdepan beberapa cabaran pada masa hadapan termasuk pembiayaan lebih ketat, persaingan dalam pasaran dan ketersediaan produk mampu milik dalam kalangan pengguna, kata penganalisis.
BIMB Securities dan Kenanga Research dilihat tidak begitu teruja dengan pertumbuhan kukuh jualan kenderaan baharu pada Julai 2025 dan mengekalkan pendirian “neutral” terhadap sektor itu.
“Kami mengulangi saranan “neutral” kerana pelancaran model baharu dan pengenalan kenderaan elektrik (EV) menyokong jualan dalam jangka masa terdekat, namun cabaran mampu milik, pembiayaan yang lebih ketat, dan persaingan harga daripada pengeluar peralatan asli (OEM) China memberi tekanan ke atas margin.
“Risiko lain termasuk kadar penggunaan EV yang lebih kukuh dan kemungkinan kelewatan dalam pelaksanaan pembaharuan duti nilai pasaran terbuka, yang mungkin memanjangkan momentum permintaan walaupun berdepan halangan yang semakin meningkat,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “pegang” terhadap Sime Darby Berhad dengan harga sasaran (TP) RM1.75, dan MBM Resources Berhad pada TP RM4.30.
la memberikan saranan “jual” terhadap Berjaya Auto dengan TP 65 sen.
Kenanga Research, yang mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor ini, menjadikan MBM Resources dan Hong Leong Industries Bhd sebagai pilihan utama dalam sektor automotif.
“Sebagai proksi yang baik kepada pasaran kenderaan mampu milik dan program rasionalisasi subsidi bahan api, di samping menawarkan hasil dividen yang menarik sekitar 10 peratus dan 6 peratus masing-masing,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, MBM Resources mempunyai tarikan pelaburan yang kukuh, termasuk keterlihatan pendapatan yang tinggi hasil daripada baki pesanan Perodua sebanyak 100,000 unit, serta pegangan strategik 23 peratus dalam syarikat pengeluar kenderaan tersebut.
Kedudukannya sebagai pengedar terbesar Perodua turut diperkuatkan perluasan jenama baharu yang berjaya seperti Jaecoo, yang mencatatkan jualan bulanan sebanyak 1,200 unit, dan hasil dividen menarik kira-kira 10 peratus.
Sementara itu, Hong Leong Industries mendapat manfaat sebagai pilihan utama dalam pertumbuhan ekonomi gig, dengan memanfaatkan penguasaan pasaran motosikal Yamaha sebanyak 50 peratus.
Syarikat itu mempunyai kedudukan kewangan kukuh dengan wang tunai bersih RM1.9 bilion, menawarkan hasil dividen yang stabil sebanyak 6 peratus dan tidak terkesan daripada impak rasionalisasi subsidi bahan api kerana asas pelanggan terasnya.
Kenanga mengekalkan saranan “outperform” terhadap MBM Resources dengan harga sasaran (TP) RM6.90, dan saranan “outperform” terhadap Hong Leong Industries dengan TP RM16.70. -UTUSAN