KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dijangka mewartakan Rang Undang-Undang (RUU) Koperasi baharu pada Jun 2026, sebelum dikuatkuasakan pada Disember tahun yang sama.
Menterinya, Datuk Ewon Benedict berkata, kementerian dalam proses menggubal akta koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502), sejajar dengan keperluan semasa dan aspirasi pembangunan koperasi negara.
Katanya, ia kini hampir memasuki fasa akhir penggubalan sebelum dibawa ke Parlimen untuk pembentangan pada awal Disember ini.
“Sehingga kini, Kuskop dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah berjaya melaksanakan sebanyak 18 sesi libat urus melibatkan penyertaan 47 agensi kerajaan, koperasi premier, federasi dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad.
“Libat uru juga melibatkan universiti tempatan, koperasi serta anggota pentadbiran dan kerajaan bagi negeri Sabah, Pulau Pinang, Johor, Pahang dan Sarawak,” katanya dalam perutusan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan Bilangan 2/2025 di Menara Bank Rakyat, di sini, semalam.
Mesyuarat itu disertai oleh Timbalan Menteri, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, barisan pengurusan tertinggi dan ketua-ketua agensi di bawah Kuskop serta 36 anggota majlis yang terdiri daripada 14 exco kerajaan negeri yang memegang portfolio koperasi, sembilan wakil gerakan koperasi, tiga wakil akademik dan dua wakil industri.
Bacaan kedua dan ketiga RUU berkenaan dijangka pada Mac 2026.
Sementara itu, Ewon berkata, Hari Koperasi Negara 2025 pada 25 hingga 27 Julai 2025 di Melaka telah berjaya menarik kira-kira 58,000 pengunjung, melepasi sasaran awal sebanyak 50,000 orang.
“Jumlah ini mencerminkan bahawa koperasi terus relevan di mata masyarakat dalam memainkan peranannya sebagai entiti dalam membangunkan sosio-ekonomi masyarakat.
“Sepanjang tempoh penganjuran, jumlah jualan koperasi dan usahawan telah mencecah lebih daripada RM1.1 juta, manakala potensi jualan yang diraih pula dianggarkan sebanyak RM22 juta,” katanya. – UTUSAN










