RMK13: MITI komited manfaatkan peruntukan RM227b

RMK13: MITI komited manfaatkan peruntukan RM227b untuk transformasi ekonomi

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan RM227 bilion untuk sektor ekonomi dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030  untuk transformasi ekonomi.

Menurut kenyataannya, MITI juga berpandangan positif terhadap komitmen kerajaan untuk meneruskan Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF) di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi menyokong pelaburan dalam sektor bernilai tinggi. 

Katanya, pelaksanaan RMK13 akan disokong oleh dasar-dasar strategik utama di bawah MITI, termasuk NIMP 2030, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), Strategi Pelaburan Hijau (GIS) dan Rangka Kerja Industri Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Kebangsaan (i-ESG). 

“Secara khusus, MITI akan mempergiatkan usaha untuk melonjakkan pertumbuhan sektor pertumbuhan tinggi nilai tinggi (HGHV) melalui pelaksanaan NIMP 2030 dan NSS. 

“Inisiatif utama termasuklah memposisikan Malaysia sebagai hab semikonduktor berteknologi tinggi dengan sasaran nilai eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) mencapai RM1.0 trilion menjelang 2030,” katanya. 

Sementera itu, MITI juga akan menggiatkan pembangunan Halal Industrial Park yang bakal menyumbang kepada peningkatan sasaran eksport halal negara sebanyak RM80 bilion menjelang 2030. 

Katanya, bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 sahaja, nilai eksport halal Malaysia telah mencecah RM 33.32 bilion.

Tambahnya, kementerian akan memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab serantau yang berdaya saing dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan bakat bagi merealisasikan aspirasi Made by Malaysia. 

“MITI akan menggiatkan pelaksanaan agenda pertumbuhan mampan negara melalui Strategi Pelaburan Hijau (GIS), yang menggariskan tujuh bidang keutamaan termasuk tenaga boleh baharu dan ekonomi kitaran untuk meningkatkan daya saing pelaburan dan mencapai sasaran pelepasan karbon negara,” jelasnya.

Seterusnya, kementerian akan memastikan daya saing global negara terus dipertingkatkan dan memastikan dasar dan strategi perdagangan dilaksanakan dengan berkesan, melalui Rangka Tindakan Perdagangan Nasional 2.0 yang akan diperkenalkan. 

Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dari segi pelaksanaan, MITI mengalu-alukan mekanisme pemantauan RMK13 yang dipertingkat melalui Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD). 

Katanya, pelaksanaan sememangnya diutamakan melalui pelbagai usaha, seperti Invest Malaysia Facilitation Centre untuk memudahkan perjalanan pelabur dan Unit Pemantauan Pelaksanaan bagi NIMP 2030. 

“MITI juga melaporkan tahap kemajuan dan keberhasilan projek secara konsisten melalui Kad Laporan MITI yang dibentangkan kepada media setiap tiga bulan.

“MITI akan memastikan dasar-dasar ekonomi RMK13 di bawah seliaan MITI akan dilaksanakan sebaik mungkin bagi memacu pertumbuhan Malaysia yang mampan dan inklusif, yang akan memperkukuh tadbir urus kerajaan, meningkatkan kualiti hidup rakyat dan membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),

“Dengan inisiatif-inisiatif ini, MITI beriltizam untuk memacu pelaksanaan dasar-dasar strategik bagi memastikan aspirasi RMK13 tercapai, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pemacu potensi global,” ujarnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN